MBAS Tangguh Struktur Harga Lesen Disambut Baik Ramai Pihak

ALOR SETAR - Tindakan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menangguhkan sementara penstrukturan semula kadar lesen berkaitan perniagaan disambut baik pelbagai pihak, berikutan mendengar keluhan peniaga yang terbeban dengan kenaikan itu.

Ahli Majlis MBAS, Datuk Ir Guntor Tobeng Mansor Tobeng berkata, langkah menangguhkan kenaikan bagi kajian semula kadar yang dikenakan itu amat bertepatan.

“Penangguhan itu memberi ruang kepada MBAS meneliti semula kadar kenaikan yang munasabah supaya dapat diterima oleh peniaga. Pada masa yang sama, ia memberi peluang kepada peniaga memahami kenapa langkah itu terpaksa diambil,” katanya.

Guntor Tobeng yang juga Ketua Whip Ahli Majlis MBAS berkata, pihaknya bersetuju kajian semula kadar dilakukan supaya kerajaan negeri memahami beban kewangan dialami peniaga.

“Saya dan beberapa ahli majlis MBAS menyuarakan rasa tidak setuju dengan kadar kenaikan itu selepas menerima aduan daripada peniaga. Kita bukan tidak mahu kenaikan, tetapi minta kenaikan itu dalam kadar munasabah dan tidak membebankan,” katanya.

Menurutnya, daripada penelitian terhadap kadar yang distrukturkan MBAS itu, ia boleh dirumuskan kepada lima perkara, iaitu MBAS menurunkan semula kadar lesen seperti lesen kedai bunga, barangan jagaan rambut dan kedai kunci; memperkenalkan lesen baharu seperti perniagaan bot, jet ski, bateri kenderaan; serta memperkemas kadar lesen iklan.

“Selepas itu, baru menaikkan kadar lesen berkenaan seperti lesen penjaja sementara dan gerai makanan. Yang terakhir, mengekalkan kadar lesen sedia ada seperti lesen penjaja tanpa kenderaan, kedai jam dan kedai menjual cakera padat (CD), kaset dan video,” katanya.

Guntor Tobeng turut menyarankan MBAS bersikap lebih mesra perkhidmatan dengan memaklumkan kepada pihak terlibat menerusi media atau penerangan sekiranya bercadang melakukan sebarang kenaikan lesen perniagaan.

“Namun saya percaya kadar baharu yang akan diumumkan kelak akan diterima baik peniaga.

"Ada wakil rakyat pembangkang menjadikan kenaikan lesen ini sebagai isu menghasut peniaga. Saya ingin ingatkan mereka tidak usah menjadi batu api kerana ahli majlis MBAS yang dilantik terlebih dahulu menyuarakan isu ini, seterusnya mendapat perhatian kerajaan negeri,” katanya.

Sebelum ini, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad mengumumkan penangguhan penstrukturan semula kadar lesen bagi mengkaji semula kadar kenaikan berkuatkuasa 1 Januari lalu, melibatkan empat komponen iaitu, lesen iklan, lesen penjaja dan gerai, lesen perdagangan, perniagaan, perindustrian serta lesen hotel.

MBAS menyatakan langkah itu dilakukan selepas mengambil kira situasi semasa selain kadar itu tidak pernah dinaikkan sejak 30 tahun lalu, di mana antara kadar kenaikan mencecah hingga 200 peratus.

Pada 10 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan, Guntor Tobeng mendedahkan kenaikan mendadak itu membebankan peniaga dan meminta MBAS mengkaji semula kadar kenaikan dengan segera.

Isu itu turut mendapat perhatian Dewan Perhimpunan Cina Kedah yang membantah kadar kenaikan antara 100 hingga 200 peratus itu, selain mencadangkan kadar yang lebih minimum.