PETA menunjukkan kedudukan Kepulauan Spratly dan Kepulauan Paracel yang menjadi rebutan China, Vietnam, Malaysia, Brunei, Filipina dan Taiwan |
BETING Serupai atau lebih dikenali oleh masyarakat antarabangsa sebagai Beting James di perairan Laut China Selatan tidak syak lagi berada dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia kerana jaraknya dari Bintulu, Sarawak hanya 80 kilometer (km).
EEZ mengikut peruntukan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) membenarkan sesebuah negara mengurus tadbir EEZ yang boleh menjangkau sehingga 370km dari sempadan sah perairan negara berkenaan. UNCLOS juga mengesahkan negara pesisir mempunyai hak kedaulatan terhadap kawasan perairan 17km daripada pantai.
Memang tidak dinafikan EEZ Malaysia bertindih dengan EEZ beberapa negara lain seperti Brunei, Filipina dan Indonesia kerana perkara sebegini adalah lazim bagi negara yang berdekatan antara satu sama lain. Tidak timbul masalah ketara di antara EEZ empat negara ASEAN ini kerana masing-masing menghormati kedaulatan negara lain.
Tetapi apabila Beting Serupai juga dituntut oleh China sebagai sebahagian daripada wilayah mereka walaupun jarak terdekat perairan negara tersebut iaitu Hainan dari Beting Serupai ialah 1,800km.
Tuntutan Beijing dianggap sebagai tidak masuk akal. Ini adalah kerana tuntutan Beting Serupai oleh Beijing tidak bersandarkan kepada peruntukan EEZ UNCLOS tetapi hanya berasaskan sejarah lampau China.
Timbul masalah apabila China mula cuba memperkuatkan tuntutan Beting Serupai dengan menggunakan strategi ketenteraan bermula dari 1983 dengan menggunakan alasan kebebasan laluan di perairan antarabangsa.
Ini adalah kerana peruntukan UNCLOS membenarkan kapal negara asing (termasuk kapal perang) melalui perairan EEZ sesebuah negara jika aktiviti kapal tersebut tidak mengganggu kegiatan ekonomi negara milik EEZ tersebut.
Pada 1987 dan 1994 kapal perang milik Tentera Laut Rakyat China (PLAN) merentas perairan berhampiran Beting Serupai dan paling membimbangkan pada 20 April 2010 besi penanda sempadan diletakkan berhampiran dengan beting tersebut.
Tindakan agresif China berterusan kerana pada 2013, PLAN mula mempamerkan kekuatan tentera laut dengan mengadakan latihan pendaratan amfibia di kawasan EEZ Malaysia.
Paling terkini agensi berita China Xinhua melaporkan pada 26 Januari lalu, tiga kapal perang PLAN iaitu kapal pendarat Changbaishan dan dua kapal pemusnah daripada kelas Luyang I dan II iaitu Wuhan dan Haikou telah melakukan rondaan di perairan berhampiran Beting Serupai.
Bagaimanapun Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Abdul Aziz Jaafar menafikan laporan agensi berita tersebut kerana berdasarkan pemantauan dan risikan TLDM, tiga kapal perang PLAN yang dalam latihan itu memasuki perairan negara sebagaimana didakwa.
“TLDM mengetahui tentang kehadiran tiga buah kapal perang PLAN di kawasan perairan Laut China Selatan dan kita sememangnya memantau rapat pergerakan mereka tetapi tiada pencerobohan di James Shoal (Beting Serupai),” tegas beliau.
Strategi psikologi
Beijing begitu lazim menggunakan strategi psikologi terhadap rakyat mereka dalam apa jua peristiwa untuk menentukan sokongan tanpa belah bahagi kepada pemerintah. Umpamanya dalam media tempatan mereka sering diwarnai dengan berita China sentiasa berada dalam ancaman daripada pihak luar seolah-olah seperti dalam ambang peperangan.
Begitu juga dengan isu tuntutan kawasan perairan Laut China Selatan walaupun daripada pandangan luar mentafsirkan sebagai sesuatu yang tidak logik.
Namun rakyat mereka disogok dari kecil lagi dengan propaganda bahawa hampir 80 peratus perairan tersebut adalah milik mereka.
Termasuk dalam propaganda harian mereka adalah Beting Serupai (yang dilabel sebagai Terumbu Zengmu oleh China) juga milik mereka.
Ada kemungkinan laporan terbaharu agensi berita Xinhua mengenai Beting Serupai adalah salah satu propaganda pemerintah mereka untuk menguatkan persepsi bahawa beting yang berdekatan dengan Bintulu itu adalah wilayah paling selatan China.
Walau apa pun senario sebenarnya, adalah menjadi tanggungjawab Kuala Lumpur untuk mempertahankan kedaulatan Beting Serupai seperti yang diperuntukkan oleh UNCLOS atau mana-mana undang-undang maritim antarabangsa. Berhadapan dengan Beijing memerlukan strategi licik yang harus menggabungkan usaha diplomasi dan ketenteraan.
PERISTIWA perebutan Beting Scarborough antara Filipina dan China boleh dijadikan petunjuk bagaimana untuk berhadapan dengan Beijing. Beting tersebut yang terletak 230km dari Pulau Luzon, Filipina dan 870km dari Hainan, China menjadi rebutan kedua-dua negara itu.
China kini mengawal sepenuhnya beting tersebut kerana kekuatan PLAN jauh melebihi kemampuan tentera laut Filipina. Tetapi Manila menggunakan saluran UNCLOS untuk memaksa Beijing menerima pakai lunas perundangan antarabangsa.
Begitu juga dengan Malaysia, kekuatan TLDM pernah digunakan jika berlaku pencerobohan perairan negara seperti yang telah dilakukan oleh PLAN.
Cadangan membangunkan pangkalan laut di Bintulu atau menubuhkan pasukan tentera marin mengikut acuan tentera marin Amerika Syarikat (AS) adalah usaha untuk memantapkan pertahanan maritim negara.
Kuala Lumpur perlu menggunakan hubungan diplomatik yang agak istimewa dengan Beijing sebagai strategi mengendurkan konflik bersangkutan dengan Beting Serupai. Hubungan perdagangan yang sihat antara dua negara juga boleh dijadikan pemangkin sebagai jalan penyelesaian masalah.
Begitu jua dengan persefahaman untuk melaksanakan latihan ketenteraan antara dua negara adalah manifestasi hubungan rapat Kuala Lumpur-Beijing.
China memerlukan rakan dalam Asean apabila berhadapan dengan tuntutan bertindih di Laut China Selatan. Filipina, Vietnam, Indonesia dan Singapura tidak memihak kepada China dan situasi sebegini boleh digunakan oleh Kuala Lumpur untuk memaksa Beijing supaya tidak menimbulkan provokasi dengan Malaysia.
Dalam apa jua keadaan mungkin pembinaan struktur di Beting Serupai belum tiba masanya seperti yang dilakukan terhadap beberapa pulau milik Malaysia dalam gugusan Kepulauan Spratly. Tetapi hakikatnya, kedaulatan Beting Serupai perlu dipertahankan. -Utusan