"Mengapa Rafizi dibiarkan bebas?", NGO Desak Rafizi Ditahan Segera

Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Wilayah Persekutuan mendesak polis mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli atas perbuatannya mendedahkan maklumat akaun pelanggan sebuah bank kepada media.

Ketua Pengarahnya, Faizan Mohd Nor berkata, tindakan Rafizi tersebut jelas telah melanggar Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia) 1989.

"Rafizi harus dipenjarakan kerana mendedahkan maklumat akaun pelanggan bank kepada media. Tidak ada mana-mana individu yang boleh sewenang-wenangnya berasa istimewa jika bersubahat dalam Akta Bafia 1989.

"Laporan polis ini dibuat kerana tiada tindakan diambil oleh polis dan Peguam Negara terhadap Rafizi," katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, hari ini.

Sebelum ini, Rafizi didakwa mendedahkan dokumen penyata baki akaun pelanggan sebuah bank iaitu NFC, National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Pengerusi NFC, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, yang beliau mempunyai akses, kepada Yusof Abdul Alim dan Erle Martin Carvalho di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square Jalan Tropicana Selatan Petaling Jaya pada 7 Mac 2012.

Naib Presiden PKR itu didakwa menzahirkan salinan ringkasan akaun empat pelanggan bank tersebut kepada konsultan media Yusuf Abdul Alim dan wartawan The Star, Erle Martin Carvelno.

Namun, pada 1 Ogos 2012, Rafizi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam manakala kerani bank, Johari Mohamad, 41, yang didakwa bersubahat dengan Rafizi pada tarikh dan di alamat yang sama juga mengaku tidak bersalah.

Dalam pada itu, Faizan menegaskan akan terus mendesak polis supaya mengambil tindakan dalam hal tersebut.

"Jika tiada tindakan selepas laporan polis ini dibuat, saya akan terus mendesak. Saya akan arahkan JMM seluruh Malaysia untuk membuat laporan polis untuk mendesak polis ambil tindakan.

"Adakah tindakan mendedahkan, mencetak, memberitahu maklumat akaun bank kepada media dan umum adalah dibolehkan? Mengapa Rafizi dibiarkan bebas?," katanya. -Sinar Harian