Mengimbangi Tuntutan Fardhu Ain, Kifayah


Memahami fardu ain bersama fardu kifayah dalam konteks masa kini amat penting bagi kemajuan umat Islam. Senario yang berlaku hari ini dengan hanya memberi penekanan kepada satu bahagian sahaja dan mengabaikan bahagian lain menimbulkan masalah kepada masyarakat Islam.

Fardu ain merupakan perkara yang diwajibkan ke atas setiap Muslim yang akil baligh untuk mempelajari dan mengamalkannya seperti ilmu akidah, syariat dan akhlak yang berkaitan dengan selok belok agama Islam.

Ia berkait rapat pembentukan dan pembinaan peribadi individu Muslim. Sementara itu, fardu kifayah pula diwajibkan ke atas masyarakat Islam secara kolektif dan berhubung dengan kepentingan kehidupan dan kesejahteraan masyarakat umum, yang mana tanpa ilmu-ilmu ini kesempurnaan dan kestabilan masyarakat Islam tidak akan tercapai seperti ilmu perubatan dan sains kesihatan, ilmu matematik untuk urusan muamalat dan pembahagian pusaka, begitu juga ilmu perusahaan, pertanian, ternakan, pertukangan dan politik.

Allah berfirman dalam Surah al-Anbiya, ayat 7 : “Dan Kami tidak mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka (bukan malaikat); maka bertanyalah kamu kepada ahlu al-zikr jika kamu tidak mengetahui.”

Kesempurnaan tuntutan fardu ain adalah bergantung kepada pelaksanaan fardu kifayah, sebagai contoh seorang Muslim diwajibkan menunaikan solat fardu lima waktu sehari semalam. Solat tidak akan sah dan diterima oleh Allah SWT kecuali dilakukannya dengan menutup aurat. Menutup aurat memerlukan pakaian yang sesuai.

Oleh itu, wajib ada orang Islam yang mengusahakan industri dalam bidang jahitan. Ini yang dikatakan bahawa ke­dua-dua fardu itu berjalan serentak dan seiring.

Sejarah membuktikan kemajuan kerohanian dan fizikal umat Islam pada zaman Rasulullah SAW, para sahabat RA dan zaman keagungan Islam adalah hasil kefahaman umat Islam terhadap kesepaduan ilmu Islam ini. Kecemerlangan tamadun Islam dapat disaksikan hingga hari ini dalam pelbagai bidang ilmu seperti seni bina, ukuran, tulisan dan teori dalam pelbagai disiplin ilmu pengetahuan.

Antaranya, keagamaan dan falsafah oleh al-Ghazali, Ibn Rushd, al-Farabi; perundangan oleh al-Syafi’i, Abu Hanifah Malik dan Ahmad bin Hanbal; geografi oleh al-Idrisi dan lain-lain; sains semula jadi oleh al-Dinawari; perubatan oleh al-Razi dan Ibn Sina dan lain-lain; mekanik oleh al-Bairuni; zoologi oleh al-Jahiz; fizik oleh Khalid bin Yazid, Jabir bin Hayyan; ilmu matematik oleh al-Khawarizmi; politik oleh al-Mawardi, Ibn al-Taimiah dan al-Ghazali.

Penekanan terhadap fardu kifayah ke atas umat Islam secara kolektif bertujuan memenuhi keperluan hidup masyarakat Islam sendiri. Sekiranya tiada orang Islam yang dapat menyelesaikan keperluan masyarakat Islam, maka seluruh masyarakat Islam menanggung risiko dan dosa.

Kewajipan fardu kifayah dikenakan ke atas masyarakat Islam bagi memenuhi keperluan umat Islam kerana keperluannya amat banyak. Pembahagian mestilah dibuat secara menyeluruh dan teratur.

Adalah mustahil bagi seorang Muslim yang umurnya terbatas menjadi alim dalam semua bidang ilmu dan mampu menyelesaikan semua tuntutan umat Islam. Begitu juga tidak mungkin seorang doktor, jurutera, pakar undang-undang, ahli ekonomi dan lain-lain dapat menyelesaikan semua keperluan masyarakat Islam.

Masih banyak contoh lain yang boleh diperhatikan, misalnya di bidang sains kesihatan, wajib ada pakar perubatan Muslim. Tempat tinggal orang-orang Islam, wajib ada jurutera dan kontraktor Muslim yang menyelesaikannya. Bahan-bahan makanan dan gunaan Islam, wajib ada pakar-pakar pemakanan Muslim yang menyelesaikannya.

Senjata-senjata canggih yang hendak digunakan oleh kerajaan Islam, wajib ada pakar senjata Muslim yang dapat menyelesaikannya tanpa mengharapkan ihsan daripada negara bukan Islam. Ringkasny, pemisahan antara tuntutan fardu ain bersama fardu kifayah tidak dibenarkan berlaku dalam kehidupan umat Islam.

Kejayaan yang didapati oleh umat Islam dalam bidang ilmu pengetahuan dan lainnya adalah hasil usaha dan kegigihan mereka dalam bidang pendidikan Islam yang seimbang. Ini adalah keistimewaan Islam memberi peluang mempelajari ilmu-ilmu keduniaan setaraf dengan mempelajari ilmu al-Quran, hadis dan fikah.

Pensyarah dalam bidang fizik, kedoktoran dan sebagainya boleh dijemput untuk menyampaikan ilmu di masjid dan di mana-mana majlis ilmu selari dengan penceramah dan pendakwah yang mengendalikan sesi pengajaran ilmu agama.

Ilmu dalam Islam adalah bersepadu bersama nilai agama, tidak seperti dunia Barat atau sekular di mana ilmu itu dipisahkan sama sekali daripada nilai agama. Bagi mereka agama perlu dipisahkan daripada pengajian ilmiah dan sains mahupun pentadbiran negara.

Pelaksanaan fardu ain bersama fardu kifayah secara bersepadu ini perlu disebar luas dalam masyarakat Islam kerana kesamaran dalam memahami kedua-dua konsep ini akan membawa masalah yang berpanjangan dalam masyarakat Islam.

Fahaman melampau bakal lahir, golongan mengetatkan agama Islam akan muncul bersama golongan yang mempermudahkan agama dalam setiap perkara.

Sudah sampai masanya kita memberi definisi baharu kepada pelaksanaan fardu kifayah sebagai satu jihad untuk menegakkan agama dan mempertahankan martabat ummah. Kita perlu meninggikan syiar Islam bukan hanya pada kulit tetapi perlu lebih menyeluruh.

Perkara ini bukan sahaja ditumpukan kepada fardu ain yang mementingkan agama tetapi juga fardu kifayah untuk kesejahteraan hidup umat Islam di negara ini. Keperluan sebegini mesti dimaksimumkan. Walaupun tidak dapat menyelesaikan masalah dalam semua bidang, keciciran yang berlaku perlu diatasi, sekali gus mengatasi sindrom kebergantungan kepada pihak lain.

Inilah prinsip wasatiyyah yang terkandung dalam dakwah Rasulullah SAW yang mampu memainkan peranan dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan yang membelenggu ummah dan negara.

*Datuk Dr. Abdullah Mat Zin, Penulis ialah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri/Utusan