Miliki Pistol Angin, Lelaki Ditahan Polis Di Kuala Kedah


ALOR SETAR - Polis menahan seorang lelaki dan merampas sepucuk pistol angin jenis "Pietro Beretta Gardone" dengan 11 butir peluru bebola besi di Jalan Tok Pasai, Kuala Kedah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada 8.30 malam oleh sepasukan anggota Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis daerah itu.
 
Beliau berkata, pihaknya turut merampas sebotol gas pemampat berwarna putih disimpan bersama pistol tersebut yang ditemui dalam bilik di rumah suspek.
 
Katanya, suspek dipercayai terbabit dalam satu kejadian pukul hingga mencederakan seorang penjaga kelab malam sehingga mengalami kecederaan parah pada Jumaat lepas (20 Mac).
 
"Kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham. Ketika kejadian mangsa berada di depan kedai perabot sebelum suspek bersama tiga rakannya bertindak memukul mangsa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 
 
Adzaman berkata, suspek dipercayai mengeluarkan sepucuk pistol manakala tiga lagi rakannya bersenjatakan kayu dan pisau bertindak memukul mangsa sehingga menyebabkan kecederaan parah.
 
Beliau berkata, mangsa dikejarkan ke sebuah pusat perubatan swasta bagi mendapatkan rawatan.
 
"Siasatan polis juga mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah," katanya.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.  - Bernama