Minta Tolong Mohon Permit Kalau Nak Buat Perhimpunan

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR - Penganjur yang ingin mengadakan perhimpunan di bandar raya ini diingatkan supaya memohon permit dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengelakkan sebarang kejadian yang boleh menggugat ketenteraman awam, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib.

Beliau menegaskan DBKL sedia menimbangkan permohonan bagi penganjuran perhimpunan bergantung kepada kesesuaian keadaan pada tarikh dan tempat perhimpunan yang dipohon untuk diadakan supaya tidak melanggar undang-undang.

"Selain itu, membolehkan pihak kami bekerjasama dengan polis untuk memantau dan mengawal situasi bagi mengelakkan kejadian yang boleh menggugat keselamatan orang ramai dan merosak harta benda awam ekoran daripada himpunan berkenaan," katanya kepada pemberita pada majlis Kejohanan Boling DBKL bersama media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata perhimpunan haram boleh menimbulkan suasana huru-hara dan mengganggu kelancaran aliran trafik di sekitar ibu negara terutamanya pada waktu cuti hujung minggu.

"Kalau beribu-ribu peserta yang berhimpun, 50 hingga 60 kenderaan milik mereka diletakkan di kawasan yang tidak dibenarkan, sudah tentu ia boleh menimbulkan kesesakan lalu lintas," katanya mengulas perhimpunan #KitaLawan.

Sekretariat #KitaLawan memutuskan mengadakan perhimpunan di hadapan kompleks beli-belah Sogo di sini setiap Sabtu pada pukul 4 petang dan ia akan diteruskan biarpun tangkapan polis dibuat terhadap peserta terbabit.

Perhimpunan itu dianjurkan bagi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Ahmad Phesal menegaskan DBKL terpaksa mengawal keadaan dengan mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba menimbulkan provokasi pada perhimpunan haram itu. - Bernama