Muhammad Nor Izuan Tidak Pernah Kenal, Jumpa Ibu Kandungnya...


SUNGAI PETANI - Seorang bekas pekerja hotel di sini bingung memikirkan keberadaan ibu kandung yang tidak pernah ditemui sejak dia dilahirkan.

Muhammad Nor Izuan, 25, yang dilahirkan di Sungai Petani kini berusaha mencari darah dagingnya itu yang tidak pernah dikenali seumur hidupnya.

Muhammad berkata, ibunya, Azizah Salleh berusia 32 tahun ketika melahirkannya dan nombor kad pengenalan yang tercatat di sijil kelahiran ialah 5621228.

Menurutnya, sebelum ini, dia cuba bertanya beberapa individu terdekat jika mereka mengenali ibu kandungnya itu namun tiada maklumat yang dapat membantu mencari ibunya itu.

"Ketika kecil, saya diserahkan oleh seorang lelaki berusia kepada keluarga angkat yang membesarkan saya sehingga dewasa.

“Bagaimanapun, individu itu pula dikatakan sudahpun meninggal dunia semasa mengerjakan umrah,” katanya.

Dia berkata, sejak lima tahun kebelakangan ini, dia  berusaha menjejaki ibu kandungnya namun masih menemui kegagalan.

Jelasnya, jika mengikut perkiraan, ibu kandung itu mungkin sudah berusia 57 tahun.

"Saya terlalu ingin mengenali siapakah ibu kandung seperti rakan lain yang mempunyai ibu masing-masing namun bersyukur mempunyai keluarga angkat yang menyayangi saya.

“Saya merayu kepada mana-mana pihak yang mengenali ibu saya supaya tampil memberikan maklumat kerana teringin sangat untuk berjumpanya sebelum saya mendirikan rumah tangga,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, boleh menghubungi Muhammad  di talian 016-4740904.