Najib Iktiraf Sumbangan Masyarakat Cina Pacu Pembangunan Negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersama para kenamaan menggaul Yee Sang ketika hadir di Majlis Ramah Tamah Tahun Baru Cina di sini, malam tadi. - Foto BERNAMA
KUCHING – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memperakui sumbangan keupayaan keusahawanan oleh komuniti Cina terhadap pembangunan dan kejayaan yang dinikmati negara, khususnya di Sarawak.

Di Sarawak, Najib berkata beliau melihat penduduknya benar-benar menghayati perpaduan dalam kepelbagaian etnik, budaya, cara hidup dan saling menghormati serta menghargai kepelbagaian itu, yang menjadi sumber utama kekuatannya.

Beliau berkata apabila kekuatan dalam kepelbagaian itu dapat digembleng, barulah ia akan dapat memberi kekuatan kepada negara untuk menempa pelbagai lagi kejayaan besar.

Berucap pada Majlis Ramah Tamah Tahun Baharu Cina di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan di Jalan Padungan di sini malam tadi, Najib menggariskan tiga tahap utama dalam menghayati kepelbagaian bagi membina kekuatan iaitu toleransi, penerimaan dan tahap tertinggi serta menyanjunginya.

Beliau turut memuji kesungguhan serta keteguhan kepimpinan Tan Sri Adenan Satem yang akan genap setahun menjawat jawatan Ketua Menteri Sarawak hari ini (Sabtu), dalam usaha membanteras rasuah.

Najib berkata sikap Adenan yang dilihat ‘sederhana’ dan merendah diri berjaya meraih sokongan komuniti Cina yang mahukan sebuah kerajaan dengan urus tadbir baik untuk memerangi rasuah, serta keamanan dan kestabilan di samping menghindari ekstremisme.

Beliau juga mengajak kaum Cina, bersama seluruh rakyat Malaysia berganding bahu dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam usaha membanteras sebarang unsur ekstremisme.

Terdahulu, Adenan dalam ucapannya pada majlis itu berkata tahun ini kerajaan negeri menambah peruntukan kepada 14 buah sekolah persendirian Cina di Sarawak kepada RM4 juta, berbanding RM3 juta tahun lepas.

Ketua Menteri Sarawak itu juga dilihat mendapat sokongan padu hadirin semasa beliau menegaskan kesungguhan kerajaan negeri dalam membasmi rasuah terutama berkaitan dengan kegiatan pembalakan haram.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang, barisan menteri Sarawak serta ramai pemimpin tempatan daripada kaum Cina.

Najib dijadual menyampaikan bantuan wang ehsan kepada mangsa banjir dan membuat tinjauan mesra di sekitar Kubah Ria, Petra Jaya, esok, sebelum menamatkan lawatan kerja tiga harinya di Sarawak. – BERNAMA