Najib Rasmi Pusat Kajian Pondok KUIN Di Kedah

ALOR SETAR - Kolej Universiti Insaniah (Kuin) dijangka bakal menerajui kajian dan penyelidikan institusi pondok di Nusantara apabila menubuhkan Pusat Kajian Pondok (PKP), yang mula beroperasi 1 Mac lalu.

Rektornya, Prof Datuk Mohd Yusof Kasim menjelaskan bahawa PKP diwujudkan bagi menjalankan kajian lebih meluas terhadap institusi pondok dan sistem pengajiannya di Malaysia dan luar negara bagi menambah khazanah ilmu dan pengetahuan.

Mohd Yusof berkata demikian di majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kuin dengan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) dengan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

Najib, yang juga merupakan penaung YPPM turut merasmikan pusat kajian itu secara simbolik dengan menandatangani sebuah plak khas.

Pada majlis itu, Kuin diwakili Mohd Yusof manakala YPPM diwakili Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr Mashitah Ibrahim yang merupakan Pengarah PKP yang pertama dilantik.

MoU itu antara kandungannya menyaksikan Kuin akan menyediakan kepakaran dan kakitangan yang diperlukan untuk program yang dijalankan, termasuk kemudahan penyelidikan dan bantuan berbentuk fizikal seperti perpustakaan, dewan serta sokongan logistik.

Manakala YPPM pula akan menyediakan kepakaran dan bantuan berbentuk fizikal termasuk logistik dan jaringan.

Selain itu, Mohd Yusof turut menyedari peranan dan sumbangan pondok kepada pendidikan dan pembangunan negara, justeru Kuin merasakan perlu ditubuhkan sebuah pusat khusus untuk melakukan penyelidikan terperinci, termasuk kajian berkaitan tokoh dan ulama pondok yang banyak berjasa.

"Walaupun tumpuan diberi kepada pondok dan tokoh tempatan, namun skop PKP turut meliputi sistem pengajian sama di negara-negara Asia, Timur Tengah, Afrika dan Eropah.

"Tidak dinafikan banyak hasil kajian dibuat termasuk disertasi dan kajian ilmiah, namun masih banyak aspek perlu dibuat untuk hasilkan penyelidikan berkualiti," katanya lagi.

Menurut beliau, PKP juga mengharapkan agar dapat menjalin kerjasama dengan universiti lain bagi melengkapkan pengetahuan dan kajian yang dilakukan pada masa yang akan datang. -Kedahnews.com