KUALA LUMPUR – UMNO tidak akan berjaya pada pilihan raya umum akan
datang sekiranya anggota parti itu bersengketa dan berpecah-belah, kata
Presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib, yang juga Perdana Menteri, berkata untuk itu, anggota UMNO
seharusnya mengamalkan solidariti, persepakatan dan bekerjasama sesama
mereka.
Beliau turut mengingatkan anggota UMNO supaya mengurangkan
permasalahan dalaman dan cantas-mencantas antara satu sama lain selain
mengelakkan daripada mewujudkan dua pasukan dalam bahagian parti itu.
“Sentiasa pastikan kita tidak lupa tugas utama kita, iaitu pastikan
UMNO terus berkuasa memimpin dan memperjuangkan hak rakyat yang sentiasa
dekat di hati,” katanya dalam tulisan menerusi blognya NajibRazak.com, hari ini.
Dalam pada itu, Najib turut melahirkan rasa syukur dengan semangat
baharu dalam kalangan anggota UMNO Kedah yang hadir pada Konvensyen UMNO
Kedah 2015 bertemakan ‘UMNO Tonggak Transformasi’ semalam.
“Alhamdulillah saya lihat sebuah semangat baharu dalam kalangan ahli
UMNO Kedah yang hadir, dan mudah-mudahan pada konvensyen akan datang
kita akan lihat semangat ini kekal subur dan dijadikan suatu punca
inspirasi untuk kita terus berjuang,” katanya.
Najib berkata anggota UMNO negeri itu perlu menjadikan faktor
kejayaan merampas Kedah daripada pembangkang sebagai iktibar dalam
perjuangan.
“Tahniah kepada jentera UMNO Kedah kerana Alhamdulillah kita bertemu
di Konvensyen UMNO Kedah pagi semalam dalam keadaan kita sebagai parti
pemerintah negeri Kedah.
“Kita perlu mengambil kegagalan Kerajaan Kedah sebelum ini dan apa
yang menjadi faktor kejayaan kita memenangi Kedah sebagai iktibar untuk
menghadapi pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.
Najib berkata antara faktor penyumbang kemenangan itu adalah permuafakatan dan semangat sepasukan. - BERNAMA