SEPANG - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan, kontrak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk penganjuran Formula One (F1) Grand Prix Malaysia dilanjutkan selama tiga tahun, sehingga 2018.
Petronas turut disahkan sebagai penaja utama Grand Prix Malaysia bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Kontrak penganjuran perlumbaan F1 di Sepang tamat tahun ini, selepas ia mula dianjurkan pada 1999.
Perdana Menteri membuat pengumuman tersebut
kepada pemberita, selepas menyaksikan perlumbaan F1 Grand Prix Malaysia
2015 dan menyampaikan trofi kepada pemenang, pada petang Ahad.
Najib berkata, Malaysia selaku penganjur
perlu menjadikan perlumbaan berprestij itu lebih menarik dan mendapat
sambutan lebih ramai penonton dari dalam dan luar negara untuk
menyaksikan acara tahunan itu.
“Kita perlu membangunkan perlumbaan F1 ini
sebagai satu acara yang mendapat sambutan lebih meriah dan menggalakkan,
bukan sahaja di peringkat antarabangsa, tetapi juga kepada rakyat
Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pelancongan dan
Kebudayaan bersama jabatan kerajaan lain, perlu memainkan peranan untuk
menjadikan perlumbaan F1 sebagai satu acara penting dalam kalendar
pelancongan negara.
“SIC memerlukan sokongan jabatan kerajaan,
dan untuk mencapai objektif ini, kita perlu bergerak secara bersepadu.
Selain itu, kita perlu mempromosikan acara ini dengan lebih agresif,”
katanya.
Perlumbaan edisi ke-17 Grand Prix Malaysia
hari ini dimenangi pemandu Jerman, Sebastian Vettel daripada pasukan
Scuderia Ferrari. – BERNAMA