![]() |
| Gambar Hiasan |
PUTRAJAYA – Jabatan Perikanan berjaya membanteras 105 kes aktiviti
perikanan haram di seluruh negara sepanjang tiga bulan pertama tahun
ini, kata Ketua Pengarah Perikanan Datuk Ismail Abu Hassan.
Beliau berkata menerusi operasi Program Pemantauan, Kawalan dan
Pengawasan (MCS) itu, sebanyak 154 nelayan turut ditahan dengan 70
daripadanya adalah kru warga asing.
Tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk penggunaan pukat
tunda tidak berlesen dan pukat rawa surong, menggunakan pekerja warga
asing tanpa permit, peralatan tidak mengikut spesifikasi lesen dan
menangkap ikan di luar kawasan yang dibenarkan, katanya.
“Risikan kami juga menunjukkan terdapat peningkatan bilangan pukat
tunda tidak berlesen dan pukat rawa surong dengan 122 buah di Perlis,
Kedah (227), Perak (347) dan Selangor (169),” katanya pada sidang media,
di sini, Isnin.
Beliau berkata 210 batang pancang kerang haram turut dimusnahkan
dalam operasi MCS di kawasan perairan Selangor dan menyita 38 unit
peralatan tongkah.
Selain itu, Ismail berkata aduan daripada nelayan mengenai aktiviti
perikanan haram pada tahun lepas turut meningkat kepada 362 berbanding
182 pada 2013.
Menurutnya, pada tahun lepas Jabatan Perikanan turut menjalankan
sebanyak 26,759 pemeriksaan ke atas kapal dan peralatan menangkap ikan.
Beliau berkata operasi MCS akan terus dipergiatkan bagi memastikan
jumlah pendaratan ikan negara dengan purata 1.4 juta tan metrik setahun
ketika ini tidak terjejas akibat aktiviti haram.
“Penggunaan pukat tunda dan pukat rawa surong di kawasan pesisir
pantai akan mengakibatkan anak-anak dan benih ikan turut ditangkap dan
ini dikhuatiri akan menjejaskan sumber perikanan negara.
“Pihak Jabatan Audit Negara juga telah menyarankan agar sumber
kewangan diperuntukkan untuk aktiviti pengurusan perikanan terutamanya
bagi menambah aset seperti enjin bot dan peralatan komunikasi,” katanya.
– BERNAMA
