DUNGUN – Dua ekor penyu yang ditemui cedera oleh sekumpulan nelayan
pada akhir tahun lepas, telah diserahkan ke Pusat Penyu dan Ekosistem
Marin (TUMEC) Rantau Abang di sini, untuk diberikan rawatan.
Ketua TUMEC, Syed Abdullah Syed Abdul Kadir berkata, pihaknya
menghargai usaha yang dilakukan sekumpulan nelayan berkenaan dan langkah
tersebut adalah contoh terbaik kerana mereka mempunyai kesedaran
melindungi haiwan terancam itu.
Katanya, kedua-dua penyu yang ditemui dalam kejadian berasingan itu,
mengalami kecederaan parah pada bahagian kaki pendayung hadapan kerana
terperangkap di dalam pukat.
“Jarang nelayan datang serahkan penyu yang cedera kepada TUMEC.
Biasanya haiwan ini dibunuh. Ini menunjukkan masih terdapat keprihatinan
dalam kalangan nelayan terhadap penyu dan patut dicontohi oleh semua
nelayan di negara ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Syed Abdullah yakin penyu jenis Penyu Agar (Chelonia mydas) dan Penyu
Lipas (Lepidochelys olivacea) yang berumur lingkungan lima hingga enam
tahun itu, berkemungkinan besar mati kelemasan dalam pukat sekiranya
nelayan lambat menyelamatkan haiwan tersebut.
Beliau berkata, TUMEC kini masih memberi rawatan dan penyu terbabit akan dilepaskan semula ke laut setelah benar-benar pulih.
“Alhamdulillah, kedua-dua ekor penyu itu sekarang berada dalam keadaan baik dan stabil,” katanya.
Menurut rekod Jabatan Perikanan, beliau berkata, kadar kematian penyu
di Terengganu adalah antara 30 dan 40 ekor setiap tahun dan fenomena
itu amat menyedihkan. – BERNAMA