Nik Abduh Risau "DAP Anti-Islam" Tidak Dapat Disangkal Lagi

KUALA LUMPUR – DAP akan dilihat sebagai sebuah parti politik anti-Islam jika terus menyerang PAS dalam isu hudud.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, DAP terus menyerang PAS dengan menipu rakyat Malaysia mengenai isu itu.

“Terlalu kerap mengkritik hak Kelantan melaksanakan hukum hudud akan membina persepsi buruk. Lama mana politik begini boleh bertahan?

“Saya khuatir lama-lama rakyat non muslim sendiri akan naik jengkel dengan cara DAP bersilat,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

DAP semalam mengumumkan parti itu memutuskan hubungan dengan Presiden PAS kerana menganggap Abdul Hadi sebagai pengkhianat bersiri kepada Pakatan Rakyat.

Nik Mohamad Abdul berkata, tindakan DAP memperkecilkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjejaskan parti itu pada kaca mata umat Islam.

“Saya pasti kecewa jika pada ‘hari-hari mendatang’, usaha melabel DAP sebagai anti Islam akan menjadi kenyataan yang tidak tersangkal lagi,” tegasnya.

Beliau menegaskan, Presiden PAS kekal dicintai umat Islam sebagai tiang ilmu dan iman umat Islam dalam negara.