Nizar Tegaskan Tiada Hudud Di Perak Jika Pakatan Memerintah

Pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah yang membabitkan perlaksanaan hukum hudud seperti yang dibentangkan kerajaan Pas di Kelantan, ditegaskan tidak akan dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat Negeri Perak.

Keputusan itu diambil menerusi satu mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Perak pada Sabtu lalu yang dikatakan bertujuan bagi menjaga keluhuran Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Pakatan Rakyat Negeri Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menegaskan bahawa sekiranya pihaknya membentuk kerajaan negeri baru nanti, tiada hudud akan dibentang mahupun dilaksana di negeri itu.

Bekas Menteri Besar Perak itu menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat  untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan demi keharmonian kaum dan agama di neeri berkenaan.

"Majlis Pimpinan PR menyatakan komitmen untuk membentuk kerajaan negeri yang berpaksikan kepada prinsip telus, adil, amanah, berkebajikan dan berwawasan.

"Semua dasar yang ingin dilaksanakan ini wajib mendapat persetujuan bersama ketiga-tiga parti iaitu Pas, DAP dan PKR,” katanya dalam satu kenyataan bersama, semalam.

Kenyataan bersama itu turut dipersetujui Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dan Naib Pengerusi PKR Perak, Laksamana Pertama (B) Muhammad Imran Abdul Hamid.

Selain itu, Mohammad Nizar berkata, di dalam mesyuarat itu juga mereka bersetuju Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1993 (pindaan 2015) yang diluluskan Sidang Dewan Kelantan yang membawa pelaksanaan hudud adalah di luar dasar bersama Pakatan Rakyat.

Menurutnya, Majlis Presiden Pakatan Rakyat di peringkat tertinggi perlu bermesyuarat dengan segera untuk mencapai kata sepakat berkenaan isu tersebut.

“Ini termasuklah berkaitan kelulusan rang undang-undang itu yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat, kita perlu mengeluarkan kenyataan bersama secepat mungkin,” katanya. -Kedahnews.com