Norsabrina Ucap Tahniah Pada Pelajar Cemerlang STPM Kulim Bandar Baharu "Live" Dari Tanah Suci


Meskipun berada beribu-ribu batu di tanah suci Makkah menunaikan ibadah umrah, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor sempat mengucapkan tahniah atas kejayaan anak Kulim yang mencatat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Beliau turut mengucakan tahniah kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kulim-Bandar Baharu atas kejayaan tersebut menerusi laman Facebook miliknya, semalam.

"Tahniah kpd PPD Kulim Bandar Baharu - 2 orang pelajarnya mendapat anugerah pelajar terbaik STPM 2014.

"Pelajar tersebut ialah: MOHD RIZWAN MOHD YUNUS - SMK PADANG SERAI/SMK TAMAN MAHSURI dan NURUL SYAFINAZ AHMAD TARMAZI - SMK LABU BESAR," katanya yang dipetik dari laman sosial Facebooknya semalam.

Beliau yang teruja dengan kecemerlangan anak-anak Kulim Bandar Baharu itu menegaskan bahawa kejayaan tersebut merupakan pencetus semangat kepada semua pelajar, khususnya yang berbangsa Melayu di daerah tersebut.

Exco Kerajaan Negeri Kedah itu yang merupakan  Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Inovasi, Komunikasi, Teknologi Maklumat  dan Teknologi Tinggi itu kini sedang menunaikan umrah dan dijadualkan pulang tidak lama lagi.

Keputusan STPM diumumkan semalam dan menyaksikan kedudukan negeri Kedah berada di tempat kedua cemerlang bagi keputusan keseluruhan di seluruh negara. -Kedahnews.com