KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
menegaskan bahawa beliau tidak campur tangan berhubung penahanan lima
kakitangan portal berita The Malaysian Insider (TMI).
Katanya sebagai menteri, beliau tidak mencampuri arahan yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kerana soal operasi adalah di bawah bidang kuasa sesetengah jabatan.
“Dalam hal ini, tindakan yang dilakukan PDRM adalah suatu tindakan
operasi yang kemungkinan disebabkan laporan polis yang dibuat oleh wakil
Majlis Raja-Raja,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.
PDRM hari ini menahan dua lagi kakitangan portal berita itu bagi
membantu siasatan berhubung laporan berita yang didakwa mengaitkan
Mesyuarat Majlis Raja-Raja dengan isu cadangan pelaksanaan hudud di
negeri Kelantan.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan kakitangan TMI kepada
lima orang. Semalam tiga ditahan di pejabat mereka di Mutiara Damansara,
Petaling Jaya berhubung laporan berita portal itu baru-baru ini yang
didakwa berbaur hasutan.
Zahid, yang juga anggota Parlimen Bagan Datoh menafikan kononnya
penahanan itu adalah satu tindakan keras terhadap kebebasan akhbar. –
BERNAMA