Gambar Hiasan |
Putrajaya - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melancarkan operasi besar-besaran bagi memastikan para peniaga di seluruh negara tidak "cekik darah" pengguna dengan menaikkan harga sewenang-wenangnya.
Operasi besar-besaran fasa kedua mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 bakal dilaksanakan pada 2 April ini bagi mengesan peniaga yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan melampau.
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, operasi berkenaan dikenali sebagai Ops Catut akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
"Ops Catut dibuat bagi fasa kedua bertujuan melihat dan memantau pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang berkuatkuasa 1 April ini.
"Pada masa sama, Ops Catut ini memang dilaksanakan secara berterusan di mana sehingga sampai satu masa harga barang dan ekonomi stabil," katanya pada sidang media Majlis Perasmian Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2015 di sini, semalam.
Pelbagai kempen, program dan operasi dilaksanakan KPDNKK sebelum ini bagi tujuan memantau dan mengambil tindakan terhadap para peniaga yang cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang tanpa munasabah. - Kedahnews.com