Ops Noda: Polis Tahan 28 Gadis Thai Di Jalan Sultan Ismail

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Polis menahan 28 wanita warga Thailand yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam Operasi Noda (Ops Noda) di sebuah premis pusat hiburan di Jalan Sultan Ismail di sini, Isnin malam.

Ketua Operasi Jabatan Siasatan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Supt Razali Abu Samah berkata dalam serbuan kira-kira 11.20 malam itu, kesemua wanita warga asing berkenaan yang berumur antara 21 hingga 31 tahun ditahan ketika sedang melayan pelanggan.

Beliau berkata polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun yang dipercayai pengurus premis berkenaan.

“Ketika pemeriksaan di premis teres setingkat berkenaan, didapati premis itu menyediakan perkhimatan GRO warga asing tanpa permit yang sah dan terdapat 40 pelanggan sedang berhibur ditemani wanita warga asing itu.

“GRO itu menawarkan perkhidmatan seks dengan bayaran RM150 hingga RM200 untuk sekali perkhidmatan dengan menjadikan hotel bajet di kawasan sekitar untuk tujuan pelacuran,” katanya dalam satu kenyataan Selasa.

Razali berkata premis berkenaan telah beroperasi selama lima tahun dan pihaknya telah membuat pemerhatian selama dua minggu hasil maklumat orang awam.

Katanya kesemua wanita itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi dan kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen, Peraturan 39B dan 11(7) Peraturan Imigresen. – BERNAMA