Paras Air Di Tiga Empangan Kedah Masih Ditahap Normal, Alhamdulillah...

ALOR SETAR - Paras air di tiga empangan utama yang menyalurkan air untuk kegunaan domestik di Kedah berada pada tahap normal walaupun berlaku musim kering sejak Disember hingga penghujung Mac ini.
  
Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dalam satu kenyataan kepada Bernama berkata paras air Empangan Pedu setakat ini berada pada 95.25 meter, Empangan Muda pada tahap 99.04 meter dan Empangan Ahning 108.90 meter.
  
Katanya, purata hujan yang turun di kawasan tadahan di ketiga-tiga empangan itu pada Januari sebanyak 38.33mm dan sehingga 24 Februari lepas pula ialah sebanyak 89.05mm.
  
Beliau berkata, sekiranya tiada hujan di kawasan tadahan sehingga akhir Mac ini, empangan Pedu dianggar mempunyai takungan air sebanyak 938 juta meter padu dan mencukupi untuk keperluan domestik dan industri.
 
"Air di empangan Pedu juga cukup untuk musim penanaman padi bagi musim 1/2015 yang dijadual bermula pada penghujung Mac tahun ini," menurut kenyataan itu.   
  
Sementara itu, anggota Exco Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan Kedah, Datuk Badrol Hisham Hashim mengingatkan semua masyarakat supaya berjimat cermat dalam menggunakan air walaupun negeri mempunyai bekalan air yang mencukupi dalam tempoh lima bulan lagi.
  
Katanya, dengan takungan air sedia ada kerajaan negeri tidak bercadang mengenakan catuan air. - Bernama