PAS Bentang Hudud: PKR, Rafizi Salahkan Barisan Nasional

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyalahkan Barisan Nasional (BN) berikutan tindakan PAS membentangkan pindaan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, semalam.

Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli mendakwa, BN mengambil kesempatan daripada pembentangan undang-undang hudud itu untuk menghakis sokongan rakyat bukan beragama Islam terhadap Pakatan Rakyat.

“Sebab itu, saya menyeru supaya kepimpinan PAS dan rakyat keseluruhannya berhati-hati dan waspada dengan muslihat BN yang menggunakan ketaatan orang Islam terhadap hukum Allah sebagai muslihat politik,” dakwanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR mendakwa, BN menggunakan isu hudud untuk memecahkan Pakatan Rakyat bagi memastikan mereka kekal berkuasa dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Jika itu berlaku, pelaksanaan hudud tidak akan terlaksana dan rakyat akan dimangsakan,” dakwanya.

Dakwaan Rafizi itu bagaimana bercanggah dengan penjelasan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din bahawa parti itu membentangkan hudud kerana lebih mengutamakan hukum Allah daripada Pakatan Rakyat.

Haron turut menegaskan PAS tidak khuatir undi bukan Islam ke atas parti itu akan terjejas kerana PAS lebih mengharapkan bantuan Allah daripada bantuan manusia. -Kedahnews.com