IBARAT cuba menutup bangkai gajah dengan nyiru, polemik yang tercetus antara PAS dan DAP sekarang, mustahil untuk disembunyikan.
Saling membalas kenyataan antara satu sama lain, kedua-dua parti dilihat membedil lawan satu sama lain.
Terbaru, Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din memberi gambaran
bahawa hubungan kedua-duanya sudahpun terputus sejurus selepas DAP
mengisytiharkan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang sebagai pengkhianat.
Namun yang meninggalkan tanda tanya, sehingga kini Pakatan Rakyat masih
tidak berani menyingkir keluar parti Islam itu dari bawah naungannya.
Apa tidaknya, andai situasi tersebut betul-betul menjadi kenyataan,
nampaknya status kerajaan Selangor akan terumbang-ambing sekali lagi
kerana majoriti kerusi hilang mendadak disebabkan kemelut dalaman PR
sendiri.
Jika mengikut bilangan kerusi DUN ketika ini, Pakatan Rakyat mendominasi dengan 43 kerusi berbanding BN cuma 12.
Akan tetapi, andai PAS keluar dari Pakatan, senario bakal berubah
kerana ia mengurangkan 15 kerusi yang dimenangi pada PRU-13 lalu,
menjadikan baki hanya 28 kerusi untuk PR.
Lagi merunsingkan mereka, ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh dari DAP tidak layak untuk mengundi kerana dilantik menjadi Speaker.
Bertambah kacau andai BN dan PAS bergabung pula, maka secara
automatiknya, kedua-dua pihak akan memiliki bilangan hak mengundi sama
iaitu 27.
Terikat dengan kedudukan ‘seri’, figura akan menjadi penentu kepada
kebuntuan tersebut tak lain dan tak bukan, bekas Menteri Besar Selangor,
Tan Sri Khalid Ibrahim.
Sudah terang lagi bersuluh, Abdul Khalid yang diturunkan dari jawatan
tertinggi pentadbiran negeri malah dihalau dari PKR, pastinya tidak
akan kembali menyertai parti itu.
Beliau berkemungkinan besar menyertai PAS untuk bersama-sama
menubuhkan kerajaan baru bersama BN kerana umum sedia maklum, PAS
sememangnya rapat dengan Khalid.
Malah harus diingat, isu ‘Kajang Move’ yang menjadi titik tolak
pemecatan Abdul Khalid juga merupakan antara punca utama keretakan
hubungan PAS dengan DAP dan PKR.
Landskap politik di Selangor sememangnya sering berubah dan
menyaksikan banyak isu timbul dari masa ke semasa akibat pergolakan
dalaman Pakatan Rakyat.
Siapa tahu, pentadbiran di negeri tersebut bakal berubah sekali lagi dalam masa terdekat, kita tunggu dan lihat!