PAS Tak Mungkin Minta Istinbat Hukum Dari Pakar Sains - Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR – “Jangan kita perbodohkan orang lain semata-mata merasakan kitalah yang hebat atau hanya kita sahaja yang membuat kerja Islam”. 

Itu pesanan Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada ahli dan pimpinan parti itu. 

Tegas beliau, setiap manusia ada bidang dan kebolehan masing-masing yang boleh menyumbang kepada kemenangan Islam selagi semua pihak saling menghormati kelebihan masing-masing.

"Ahli agama ada bidang dan medannya. Ahli ekonomi ada kepakaran dan medannya demikian ahli doktor, jurutera, sains dan lain lain. Mereka juga ada kepakaran dan medannya untuk menyumbang.

"Kita tidak mungkin minta pakar sains berbicara tentang kaedah istinbat hukum yang menjadi kepakaran bagi ahli agama. Tapi ini tidak bermakna pakar sains tidak boleh mengeluarkan pandangannya. 

"Cuma jangan pula pakar sains bersifat ujub sehingga menghina pandangan dan memandang remeh sumbangan orang lain,” katanya dalam satu kenyataan semalam. 

Beliau dipercayai berkata demikian berikutan perbalahan yang sedang berlaku diantara pendokong golongan profesional dan ulama dalam parti PAS menjelang Muktamar PAS 2015. 

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak terlibat membuang ego masing-masing kerana ia boleh mengundang perasaan meluat orang ramai. 

“Semua orang ada sumbangan dalam perjuangan Islam. Sumbangan tersebut tentulah berbeza antara satu sama lain, mengikut kemampuan dan kepakaran mereka. Jangan kita rasa ujub dengan apa yang kita tahu lalu membodohkan orang lain,” katanya.
 
Sumber: Mynewshub.cc