PAS Tak Patut Sertai Pakatan Rakyat Sejak 2008 - Lim Kit Siang


KUALA LUMPUR – DAP secara terbukan terus menghujani kritikan terhadap PAS berhubung pendirian PAS yang diumumkan Mursyidul Amnya yang baru, Datuk Dr. Haron Din Al-Hafiz mengenai kepentingan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan bahawa kenyataan Haron bahawa PAS lebih mengutamakan hudud daripada kerjasama dalam Pakatan Rakyat adalah jelas menyimpang daripada pendirian Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Mursyidul Am PAS yang baru menyatakan hudud lebih penting daripada kerjasama dengan Pakatan Rakyat. 

"Pendirian ini sangat jelas bukan pendirian Nik Abdul Aziz semasa beliau menjadi Mursyidul Am PAS," katanya dalam satu kenyataan semalam, membidas Mursyidul Am PAS yang menggantikan Allahyarham Nik Abdul Aziz itu.

Ustaz Haron semalam menegaskan parti itu lebih mengutamakan hukum Allah iaitu hudud daripada hukum manusia termasuk urusan kerjasama politik dengan Pakatan Rakyat.

Beliau juga menegaskan sekali lagi bahawa PAS tidak akan berganjak dengan perjuangannya melaksanakan hukum hudud sekalipun mendapat tentangan keras DAP, mahupun rakan sekutu mereka, Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kit Siang berkata, Haron menyatakan pendirian itu merupakan pendirian PAS sejak sekian lama, maka jika benar begitu parti tersebut tidak sepatutnya menyertai Pakatan Rakyat pada tahun 2008.

Katanya, jika itu memang pendirian PAS selama ini, maka parti itu tidak sepatutnya mempersetujui dasar bersama Pakatan Rakyat sebelum ini dan menipu pengundi Pilihan Raya Umum Ke-13 kononnya PAS tidak meletakkan hudud sebagai keutamaan.

“Satu kesalahan jika PAS menuduh siapa yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud adalah anti-Islam,” tegasnya. -Kedahnews.com