PAS Tetap Bentang RUU Persendirian Berkaitan Hudud Di Parlimen

KUALA LUMPUR – PAS tetap akan meneruskan hasrat membentangkan di Dewan Rakyat Rang Undang-Undang Persendirian berkaitan hudud untuk pelaksanaan di Kelantan, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Anggota Parlimen Marang itu berkata, keputusan itu muktamad dan partinya tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan termasuk daripada parti sekutu dalam Pakatan Rakyat, DAP.

“Selaras dengan perbincangan saya dengan Mursyidul Am (Datuk Dr Haron Din), saya tetap akan bentangkan rang undang-undang ini,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, Isnin.

Abdul Hadi telah pun mengemukakan pada 18 Mac lalu notis bagi usul tersebut dibentangkan di Dewan Rakyat.

Rang berkenaan iaitu rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 19 Mac. – BERNAMA