KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memantau dan
menjalankan risikan dari semasa ke semasa sebagai satu daripada usaha
berterusan menghadapi sebarang ancaman keselamatan di negara ini.
Isu ancaman keselamatan dari luar seperti di kawasan Kawasan
Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESScom), kumpulan militan IS dan
pendatang asing tanpa izin (PATI) diberikan perhatian serius oleh PDRM
bagi memastikan ancaman itu dapat ditangani.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam
(KDNKA) Bukit Aman Datuk Muhd Fuad Abu Zarim berkata PDRM sentiasa
bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan berkenaan ancaman
keselamatan.
“Seperti di kawasan ESScom, ancaman di sana masih berterusan namun
PDRM sentiasa bersedia dengan 1,000 anggota yang telah ditugaskan dengan
penglibatan mereka secara jadual berkala.
“Beberapa peralatan seperti bot laju, sistem radar dan helikopter
merupakan antara keperluan logistik yang telah dimantapkan bertujuan
mengawal keselamatan di lokasi itu,” katanya ketika sesi wawancara
bersama pemberita di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini baru-baru ini.
Muhd Fuad berkata, tempoh perintah berkurung fasa ke-15 di kawasan
perairan ESScom juga telah dilanjutkan sehingga 29 Mac bermula pukul 7
malam hingga 5 pagi.
“Ini bagi menjamin keselamatan pengguna dan pelancong di perairan khususnya juga rakyat Sabah di daratan ESScom,” katanya.
Muhd Fuad berkata pemantauan turut dilakukan melibatkan militan IS,
yang melibatkan rakyat di negara ini yang terlibat dengan kegiatan
tersebut
“Apa yang membimbangkan, apabila mereka pulang ke negara ini, mereka
membentuk kumpulan militan baharu yang disertai oleh generasi muda.
Militan memang belum wujud di sini namun jika dibiarkan ia boleh
mengundang musibah,” katanya.
Justeru PDRM telah mengambil langkah sewajarnya melalui unit risikan
dan pasukan gempur yang terlatih bagi menjaga keselamatan di negara ini
daripada ancaman pihak luar.
Dalam isu PATI, Muhd Fuad mengambil contoh penahanan 1,400 PATI yang
berada di Cameron Highlands ketika Ops Gempak dan Mesra yang dijalankan
tahun lalu, bersama agensi penguat kuasa yang lain.
“Ini melibatkan 100 anggota Pasukan Gerakan Am yang membanteras PATI di kawasan terbabit,” katanya. – BERNAMA