Pejabat Rafizi Digeledah, Polis Ambil Bahan Bukti

Enam anggota polis dilaporkan telah menyerbu Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Tropicana Merchant, Damansara dipercayai bagi mengambil barang bukti berkaitan perhimpunan haram #KitaLawan yang berlangsung semalam.

Polis dari Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi turut mengeledah pejabat Setiausaha Agungnya, Mohd Rafizi Ramli yang turut sama berada bersama peguam dan Ahli Parlimen Kapar, G. Manivanan di lokasi himpunan haram berkenaan.

Difahamkan bahawa antara barangan yang dirampas anggota polis itu ialah empat buah komputer, sepucuk surat pekeliling berkaitan perhimpunan #KitaLawan serta kenyataan media berhubung perhimpunan yang sama.

Rafizi ditahan pada Jumaat lalu di pusat khidmatnya di Kuala Lumpur di bawah Akta Hasutan berhubung satu kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agung PKR itu yang menyeru kehadiran ramai di perhimpunan #KitaLawan. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam pada itu berkata, tindakan Rafizi amat merbahaya dan boleh membawa ancaman kerana surat yang dikeluarkannya itu boleh mengundang pelbagai makna.

"Surat terbuka macam ni boleh menimbulkan pelbagai makna..adakah dia mengarahkan orang-orang dia supaya pecah penjara itu? 

"Surat ini memberi pelbagai kefahaman..jadi kita menahan Rafizi untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan.

Pihak polis turut dilapor telah memperoleh perintah reman tiga hari bagi Ahli Parlimen Pandan itu.

Juga difahamkan bahawa Rafizi sepatutnya mengetuai kumpulan di perhimpunan tersebut dari Masjid Jamek untuk bertemu kumpulan lain dari Dataran Merdeka dan ibu pejabat PAS di kompleks membeli-belah Sogo, namun dia ditahan lebih awal. -Kedahnews.com