ALOR SETAR - Kemeriahan Pekan Rabu di bangunan Ukir Mall kembali terasa
dengan kunjungan orang ramai yang datang dari segenap ceruk sempena
musim cuti persekolahan untuk membeli buah tangan sebagai bekalan dibawa
pulang ke tempat mereka.
Tinjauan media di beberapa gerai di sini, mendapati orang ramai
tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan pelbagai produk tradisional
seperti kuih bahulu dan peneram yang masih panas, dodol, kerepek serta
pelbagai makanan lain.
Berdasarkan pemerhatian lebih setengah jam di situ, kebanyakan
pelanggan tidak kisah dengan cuaca panas terik kerana terdapat pelindung
tambahan yang disediakan peniaga untuk melindungi barang jualan sekali
gus memastikan pelanggan dapat memilih barangan jualan dengan lebih
selesa.
Peniaga kuih tradisional, Roshani Razak, 34, berkata, gerainya sering
menjadi tumpuan pengunjung yang mahu mendapatkan pelbagai koleksi kuih
tradisional asli menggunakan resipi asal diperturunkan oleh neneknya
sejak dia masih remaja.
“Selalunya kunjungan orang pada Sabtu dan Ahad meningkat sekali ganda,
kadang-kala boleh mencecah lebih 1,000 orang sehari. Selalunya mereka
datang ke sini selepas menghadiri majlis kenduri di lokasi lain dan
mengambil kesempatan untuk membeli kuih sebelum pulang ke rumah
masing-masing.
“Selain itu, ada juga rombongan pelajar sekolah yang datang untuk
melihat sendiri cara penghasilan dan pembuatan kuih tradisional bagi
melengkapkan tugasan kerja kursus mereka,” katanya.
Roshani berkata, sambutan orang ramai terutamanya terhadap kuih
tradisional yang masih panas sangat menggalakkan kerana aroma
keharumannya mudah memikat sesiapa sahaja melalui kawasan ini.
“Walaupun ada beberapa gerai turut menjual kuih bahulu namun, tidak
menjadi masalah kerana masing-masing menggunakan ramuan sendiri
terpulang kepada selera pelanggan. Kami juga menyediakan tempahan bahulu
yang digunakan sebagai gubahan hantaran perkahwinan,” katanya.
Lokasi baru mudah dicari
Bagi peniaga kerepek tradisional, Nor Aini Abdullah, 52, berbanding
peringkat awal perpindahan sambutan orang ramai kini semakin
memberangsangkan.
“Lokasi penempatan baru tidak terlalu jauh dari tempat asal memudahkan
pengunjung untuk mencarinya. Namun jika ada yang masih tidak jumpa,
selalunya adik-beradik mereka yang tinggal di sekitar Alor Setar akan
tolong bawa ahli keluarga atau rakan mereka itu ke sini.
“Apabila ada program atau majlis kenduri yang dianjurkan di kawasan
Ukir Mall, ia turut membantu menambah bilangan pengunjung ke sini,”
katanya.
Nor Aini yang sudah menjalankan perniagaan sejak berusia belasan tahun
mengakui kemeriahan di tempat baru dengan tempat lama lebih kurang sama.
“Tidak semua gerai menjadi tumpuan pengunjung. Saya bernasib baik
kerana kedudukan gerai terletak di tengah lorong bersebelahan bangunan
Ukir Mall kerana suasananya lebih redup berbanding di tepi jalan,”
katanya.
Parkir bas terhad
Pembantu gerai kerepek tradisional, Nor Shahirah Sharifuddin, 25,
berkata, walaupun di sini kelihatan meriah namun, masih tetap terasa
kekurangannya berbanding di lokasi asal.
“Jika diikutkan jumlah kunjungan pelanggan ke sini hanya kira-kira separuh dari pengunjung yang biasa ke tempat lama.
“Selalunya pada hari terakhir sebelum musim cuti persekolahan bermula
terutamanya Khamis dan Jumaat boleh dikatakan bilangan pengunjung
bertambah berbanding sekarang. Ada pelajar yang tinggal di asrama atau
waris pelajar singgah membeli barang untuk dibawa pulang,” katanya.
Nor Shahirah berkata, bagaimanapun situasi berlainan sama sekali di
sini, biarpun sudah dua kali melalui musim cuti persekolahan termasuk
ketika cuti Tahun Baharu Cina. -Sinar Harian