Pemaju Wajib Tanam "Sakura" Di Kedah - MBAS

ALOR SETAR - Dalam usaha mempromosi Alor Setar sebagai bandar raya bunga, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) akan mewajibkan pemaju untuk menanam bunga Tekoma atau lebih dikenali sebagai "Sakura Kedah" di taman-taman baharu.
 
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad berkata, sebelum sesuatu pelan landskap taman baharu itu diluluskan, syarat itu akan dikemukakan kepada pemaju bagi memastikan bilangan pokok berkenaan dapat ditambah.
 
"Ini mampu menjadikan hasrat menjadikan Alor Setar sebagai bandar raya dalam taman dapat dicapai. Dalam masa lima tahun, kita menyasarkan untuk menambah 500 pokok Tekoma di seluruh bandar Alor Setar di samping bunga-bunga lain," katanya kepada Bernama hari ini.
 
Awal minggu ini, pokok Tekoma yang banyak ditanam di Kedah mewarnai bandar raya ini dengan bunga yang berwarna merah jambu putih pada permulaan musim bunga, yang menyamai musim Sakura di Tokyo, Jepun.
 
Fenomena setahun sekali itu, yang menyaksikan pokok Tekoma mekar dalam masa  dua minggu, nyata mengagumkan orang ramai dan pelancong di bandar raya ini.
 
Mat Noh berkata, pihaknya juga merancang menanam 200 pokok Tekoma di Taman Awam Peremba di sini, yang sedang dibina.
 
Beliau berkata, MBAS dengan kerjasama Tourism Malaysia juga mengadakan pertandingan 'Selfie bersama bunga Tekoma' di mana peserta boleh menghantar gambar melalui laman sosial Facebook atau Twitter.
 
"Agensi-agensi pelancongan di negeri ini turut digalakkan membawa pelancong menikmati pemandangan itu," katanya.
 
Profesor Emeritus di Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Alam Sekitar Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Abdul Kadir Lebai Din berkata, fenomena bunga Tekoma boleh membuatkan pengunjung merasai suasana romantik dan mendamaikan hati.
 
"Ia sekali gus boleh dijadikan produk pelancongan yang unik, misalnya melalui promosi berterusan daripada pihak kerajaan negeri, " katanya.
 
Rata rata pengguna di laman sosial seperti Facebook turut memuji keindahan bunga 'Sakura Kedah' itu, seperti Mariam Bahrin yang menyatakan pemandangan itu boleh menggamit kunjungan pelancong.
 
"Inilah masanya untuk pelancong datang ke Alor Setar dan perantau balik untuk menyaksikan dan menikmati keindahan bunga Tekoma yang sedang mekar di sekitar bandar. Datanglah untuk merakam keunikan bandar Alor Setar," katanya. - Bernama