KUALA LUMPUR – Seorang pemandu rentung apabila Perodua Myvi yang
dipandunya terbakar setelah berlanggar dengan sebuah kereta BMW di
Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (Maju Expressway-MEX) pagi tadi.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP S.
Markandan berkata kereta mangsa didaftar atas nama sorang lelaki di
Kuching, Sarawak.
Beliau berkata mangsa dilapor secara tiba-tiba mengubah haluan pemanduannya sehingga berlanggar dengan kereta BMW itu.
Dalam kejadian 6.57 pagi itu, kedua-dua kenderaan dalam perjalanan dari Putrajaya menuju Kuala Lumpur.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata kereta mangsa terbakar keseluruhannya.
“Mangsa dipercayai tersepit dan gagal menyelamatkan diri selepas keretanya terbakar,” katanya. – BERNAMA