ALOR SETAR – Pemilihan pucuk pimpinan PAS penggal 2015/2017 kali ini dijangka panas apabila dikatakan bakal berlaku pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang oleh Mohamad Sabu.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menjangkakan jawatan nombor dua PAS itu akan berlaku pertandingan di kalangan pemimpin parti itu pada pemilihan kali ini, menyaksikan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dicabar pada Jun ini.
Sebaliknya, Mustafa menegaksna keyakinannya bahawa Datuk Seri
Abdul Hadi Awang akan kekal sebagai Presiden PAS tanpa bertanding, pada
pemilihan parti itu.
Mustafa menjelaskan bahawa sehingga kini, tiada mana-mana pemimpin dalam parti itu yang akan mencabar kedudukan Abdul Hadi di dalam parti berkenaan.
“Setakat yang saya tahu tidak ada pertandingan bagi jawatan
Presiden,” katanya selepas Majlis Kutipan Dana Pasca Banjir semalam yang dipetik dari Bernama.
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob merasmikan majlis itu yang
turut dihadiri Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan Datuk Hassan Mohamood.
Mengulas mengenai Mat Sabu, Mustafa berkata Timbalan Presiden itu akan dipanggil dalam masa
terdekat oleh jawatankuasa khas siasatan parti berhubung wujudnya
komplot untuk menjatuhkan Abdul Hadi.
Bagaimanapun, Mustafa sebelum ini pernah menafikan dakwaan wujudnya konspirasi menjatuhkan Abdul Hadi dari kerusi Presiden sebagaimana yang dikatakan oleh Dewan Pemuda PAS Kuantan yang berdemonstrasi di depan ibu pejabat parti itu.
Sementara itu, tokoh ulama PAS, Ustaz Hassan Mahmood yakin Abdul Hadi akan
kekal sebagai Presiden PAS tanpa dicabar oleh mana-mana pihak.
"Sekarang ini tidak ada tokoh untuk menandingi dia (Abdul Hadi).
Setakat ini Abdul Hadi adalah yang terbaik dalam kalangan kita.
"Kekuatan
PAS ialah Islam, pemimpin tertinggi (Presiden) mesti orang yang
menguasai Islam dari segi ilmunya, bahasa Arab, berwibawa dan mampu
mentadbir,” katanya. –Kedahnews.com