KUALA LUMPUR – Mesyuarat Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam
memutuskan parti itu tidak boleh menyokong PAS untuk meminda Akta
Mahkamah Syariah (Akta 355) di Parlimen bagi membolehkan undang-undang
hudud dilaksanakan di Kelantan.
Tindakan itu dijangka akan menyebabkan Hudud gagal dilaksanakan di
Kelantan kerana jika sejumlah 21 orang Ahli Parlimen PAS dicampur dengan
88 Ahli Parlimen UMNO, maka masih wujud kekurangan 3 kerusi untuk
majoriti mudah dicapai bagi meluluskan rang undang-undang berkenaan.
PKR dalam satu kenyataan media menegaskan, mesyuarat Biro Politik PKR
itu membuat ketetapan tidak boleh menyokong Rang Undang-Undang
Persendirian tersebut atas beberapa pertimbangan.
“Pertimbangan itu adalah kami (PKR) tidak dimaklumkan tentang isi
kandungan RUU Persendirian tersebut. Ia dicadangkan secara “unilateral”
tanpa pemberitahuan kepada rakan-rakan parti komponen Pakatan Rakyat dan
bercanggah dengan keputusan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat
pada 8 Februari 2015.
“Sekiranya RUU Persendirian tersebut berkaitan dengan Enakmen Kanun
Jenayah Syariah II Kelantan, PKR tetap dengan pendirian asal iaitu untuk
tidak menyokong berdasarkan prinsip Fiqh Al-Awlawiyyat, Maslahat Ummah
dan Maqasid Syariah,” kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh pimpinan tertinggi PKR,
Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Azmin Ali, Nurul Izzah Anwar,
Shamsul Iskandar Md Akin, Rafizi Ramli, Zuraida Kamaruddin dan Nik Nazmi
Nik Ahmad.
PKR turut mempersoalkan tentang Peraturan Tetap Dewan Rakyat iaitu
sebarang RUU hanya akan dibahaskan dengan restu pihak kerajaan.
Bagaimanapun, dakwa kenyataan itu, tiada seorang pimpinan tertinggi
kerajaan membuat kenyataan terbuka mengenai pendirian mereka berhubung
RUU Persendirian tersebut jika dibawa ke Parlimen.