Pemuda PAS Bidas Nik Abduh, Anggap Isu "Barua Wala' Pada Pemimpin Pakatan" Remeh

ALOR SETAR –  Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kayat menganggap isu "barua dalam PAS yang lebih wala' pada pemimpin Pakatan Rakyat" yang bangkitkan AJK PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz sebagai remeh dan tidak sepatutnya dibangkitkan.

Suhaizan turut membidas kenyataan keras anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz itu dengan menganggapnya sebagai tidak membantu menyatu padukan PAS yang kini dilanda kemelut dalaman.

“Adalah lebih baik untuk membawa Pas ini ke hadapan. Benda ini (isu yang dinyatakan) terlalu kecil untuk dibangkitkan,” katanya yang dipetik dari sebuah laman portal, hari ini.

Malah Ketua Pemuda PAS itu yang turut hadir di Istana Kehakiman bagi memberi sokongan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu juga menyelar kenyataan Nik Abduh sebagai cuba membantut langkah PAS di persada politik negara.

Katanya, kenyataan teguran keras Ahli Parlimen Pasir Mas itu dilihat seolah-olah akan melebarkan lagi jurang antara ahli dalam parti tersebut tindakan Nik Abduh itu disifatkan sebagai tidak wajar melabel pihak lain berdasarkan jawatan yang disandangnya.

“Tidak ada konsep melabel (memberi gelaran) terhadap mana-mana golongan atau ahli dalam Pas. Kita mahu satukan semua orang dibawah parti ini.


Nik Abduh dalam kenyataannya sebelum ini mendakwa terdapat golongan yang dilabelkan sebagai ‘barua’ dalam Pas yang lebih wala’ (ketaatan kepada pimpinan) Pakatan Rakyat lebih tinggi daripada wala’ terhadap perjuangan sebenar PAS.

Beliau berkata, terdapat kelompok yang cuba dikesan cuba memisahkan pemikiran Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Allahyarham bapanya yang juga merupakan bekas Mursyidul Am PAS.

Selain itu, Nik Abduh turut menegaskan tentang berlakunya usaha memecah-belahkan parti supaya menyimpang daripada perjuangan asal PAS yang didokong sejak awal penubuhan parti itu. -Kedahnews.com