GEORGE TOWN – Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin
menyifatkan penafian syarikat perkhidmatan dan penerokaan minyak
PetroSaudi International (PSI) berhubung isu salah laku urus niaga
dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dapat menjawab segala tuduhan
yang dilemparkan kepada syarikat itu.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata penafian yang dibuat
syarikat PetroSaudi itu juga dapat menjawab pelbagai tuduhan yang
dibuat berkenaan dengan satu transaksi pelaburan yang melibatkan dana
1MDB dengan syarikat itu.
“Saya harap bahawa penafian itu betul sebab ia dapat menjawab
pelbagai tuduhan yang telah dibuat berkenaan satu transaksi pelaburan
yang melibatkan dana daripada 1MDB dan syarikat berkenaan (PetroSaudi),”
katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan program
“Mountain Bike Jamboree Balik Pulau” di Balik Pulau, dekat sini, hari
ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan
yang dibuat oleh syarikat PetroSaudi semalam yang menolak kritikan dalam
talian berhubung terdapat salah laku mengenai perkongsian kedua-dua
syarikat tersebut.
Jurucakap PetroSaudi yang tidak dinamakan dilaporkan sebagai berkata
sebarang kenyataan mengenai salah laku dalam dakwaan dalam talian
mengenai perkongsian adalah palsu semata-mata dan semua modal yang
dilaburkan oleh 1MDB telah dikembalikan dengan keuntungan.
Mengulas lanjut Khairy berkata menerusi penjelasan itu pihaknya
berharap perkara tersebut dapat disiasat oleh Ketua Audit Negara.
“Perkara ini sudah menjadi soal kepentingan umum, kita tidak mahu isu 1MDB ini terus menjadi bahan spekulasi.
“Sekiranya berlaku penyelewengan dalam apa saja urus niaga berkenaan
1MDB, kita harap perkara tersebut dapat didedahkan dalam siasatan yang
bakal dibuat, sekiranya tidak ada apa-apa bukti maka kita perlu memberi
ruang kepada pengurusan 1MDB untuk meneruskan perancangan mereka,”
katanya. – BERNAMA