Pencari Petai Jumpa Bom Komunis Di Hutan Lipur Ulu Paip, Kulim

Sebutir bom lama yang telah dijumpai oleh seorang pencari petai di Hutan Lipur Ulu Paip, Kulim baru-baru ini. Bom tersebut merupakan jenis 'Bomb 500 ILB MKll' yang digugurkan pesawat pengebom ke kedudukan kem komunis semasa Malayan Emergency di Hutan Sungai Karangan. - Foto Bernama
ALOR SETAR - Seorang pencari petai mengalami detik-detik cemas apabila terjumpa dengan sebutir bom lama di Hutan Lipur Ulu Paip, Kulim ketika mencari petai di hutan itu baru-baru ini. 
 
Menurut laman Facebook Polis Kedah hari ini, polis menerima panggilan daripada pencari petai itu pada 2.55 petang, 22 Februari lepas memaklumkan tentang penemuan bom itu.   
 
Hasil daripada maklumat itu, Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontingen Kedah telah digerakkan ke lokasi berkenaan, popular sebagai destinasi perkelahan. 
 
"Hasil penelitian, mendapati bom tersebut adalah Bomb 500 ILB MKII yang dipercayai digugurkan dari pesawat pengebom ke kedudukan kem komunis semasa Darurat di Tanah Melayu di Hutan Sungai Karangan, Kulim," menurut Facebook Polis itu.   
 
Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Abdullah Arshad yang dihubungi hari ini, mengesahkan penemuan bom itu dan berkata, ia telah diletupkan oleh Unit Pemusnah Bom Polis Kedah minggu lepas. - Bernama