Penduduk Kampung Sedaka Tengah Berkas Pencuri Dari Gurun

ALOR SETAR - Seorang lelaki diberkas penduduk selepas dipercayai memasuki sebuah rumah di Kampung Sedaka Tengah, Yan, kelmarin.

Lelaki berusia 27 tahun berasal dari Gurun itu ditahan penduduk selepas didapati memasuki rumah seorang penduduk dikenali sebagai Siti Rohani Darus, 55 yang ketika itu tiada di rumah.

Siti Rohani berkata, dia keluar dari kediaman berkenaan kira-kira 7.50 pagi, dengan meninggalkan anaknya yang sedang tidur.

"Saya menerima panggilan dari anak kira-kira sejam kemudian memaklumkan rumah kami dimasuki pencuri," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Nek Zaidi Zakaria berkata,  suspek kemudian diserahkan kepada polis, malah tangkapan semula turut dibuat manakala rakan suspek sempat melarikan diri namun identitinya telah dikenal pasti.

Menurutnya, polis turut merampas barang kes, iaitu sebentuk loket bulat emas bersama wang tunai RM55.

"Suspek yang melarikan diri sedang diburu manakala suspek ditahan akan direman sehari untuk siasatan lanjut," katanya.

Sumber: Sinar Harian