Penduduk Tak Mahu Harga Pasaran RM3.80-RM4.80, Mahu RM10 Sekaki Persegi


YAN – Penduduk yang terlibat dengan pengambilan tanah bagi membina jalan sambungan dari Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah Gurun ke Pulau Bunting, di sini, mahu nilaian harga tanah dinaikkan lebih tinggi.

Masing-masing yang melibatkan penduduk di sekitar Kuala Muda, Guar Chempedak hingga Simpang Empat Sedaka, di sini, menuntut supaya nilaian harga tanah ditetapkan sekurang-kurangnya RM10 bagi setiap kaki persegi.

Difahamkan, nilaian harga tanah yang ditetapkan oleh pihak berkaitan pada sebelum ini ialah RM4.80 sekaki persegi di Guar Chempedak dan kawasan sekitar Simpang Empat Sedaka pula RM3.80 sekaki persegi.

Nilaian tanah tersebut disifatkan terlalu rendah dan tidak setimpal dengan tempoh tanah tersebut diusahakan lebih 500 penduduk di kawasan berkenaan.

Wakil penduduk di Guar Chempedak, Harun Ali, 50, berkata, beliau tidak berpuas hati dengan nilaian harga tanah yang ditetapkan pihak berkenaan.

“Selepas rundingan awal dilakukan pada baru-baru ini, pihak penilaian tanah hanya bersetuju menaikkan sebanyak 20 sen bagi setiap kaki persegi.

“Ini tidak wajar sama sekali kerana status tanah di Guar Chempedak ditulis sebagai zon pembangunan dan nilaian harga tanah yang sepatutnya adalah RM10 sekaki persegi,” katanya kepada Sinar Harian.

Malah, terdapat juga beberapa pemaju perumahan yang sanggup membeli tanah kawasan itu dengan harga RM9.50 sekaki persegi berbanding nilai yang ditetapkan pihak berkenaan.

“Kami tiada masalah kalau mereka nak ambil tanah bagi tujuan pembangunan di kawasan ini, cuma kami mengharapkan supaya nilaian harga tanah itu dibuat mengikut nilai pasaran semasa,” katanya.

Wakil penduduk di Simpang Empat Sedaka, Roslizan Zakaria, 50, berkata, cara pengambilan tanah penduduk dibuat terlalu tergesa-gesa dalam tempoh singkat.

“Saya tidak tahu kenapa mereka buat pengambilan terlalu cepat dan tidak sampai tempoh 21 hari dari tarikh notis dikeluarkan.

“Malah tempoh rundingan bersama pihak penilaian juga terlalu suntuk sehinggakan pemilik tanah tidak sempat membuat persediaan berkaitan,” katanya.

Roslizan berkata, penduduk setempat juga tidak bersetuju dengan nilaian harga tanah yang ditetapkan pihak berkenaan dan menuntut lebih tinggi.

“Saya tidak pasti kaedah nilaian yang mereka guna, sama ada tanah tepi jalan utama, tepi jalan dan sebagainya kami tidak dimaklumkan.

“Kita faham dari segi akta pengambilan tanah memang hak kerajaan negeri, tetapi kami cuma minta nilaian harga tanah adalah lebih wajar,” katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, kerajaan negeri akan membina jalan sambungan sepanjang 18.6 kilometer (km) dari arah Gurun ke Pulau Bunting, di sini.

Menurut laporan itu, Exco Kerja Raya, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, pembinaan jalan tersebut adalah untuk memajukan kawasan daerah Yan, terutama di Pulau Bunting sebagai Pelabuhan Kedah (Kedah Port).

Katanya, sebanyak 54.3 hektar tanah penduduk terlibat dalam pengambilan tersebut. Masing-masing dua rumah separuh batu, dua rumah kayu, enam rumah separuh kayu, empat rumah batu dan selebihnya ialah tempat cuci kereta serta gerai-gerai tepi jalan.

Projek bernilai RM250 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2017. -Sinar Harian