KUALA LUMPUR – Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) masih belum
dilaksana, namun menurut beberapa persatuan pengguna mereka menerima
sekurang-kurangnya 10 aduan mengenai peniaga mengenakan GST terhadap
barangan mereka dalam tempoh Januari hingga sekarang.
Menurut mereka aduan membabitkan peniaga di Lembah Klang yang
seolah-olah tidak tahu bahawa perbuatan itu mengundang tindakan
undang-undang iaitu denda RM30,000 atau penjara selama dua tahun atau
kedua-duanya jika disabitkan mengikut Akta GST 2014 kerana menguat kuasa
GST sebelum 1 April ini.
“Kes seumpama ini sepatutnya tidak berlaku kerana merosakkan
inisiatif yang bakal dilaksana kerajaan. Pengusaha tidak sepatutnya
menjadikan GST sebagai alasan untuk meningkatkan harga sesuka hati,”
kata Pegawai Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Mustaffa
Hamzah kepada Bernama, di sini hari ini.
Katanya kesemua aduan yang diterima PPIM sudah dimajukan kepada Kementerian Kewangan untuk tindakan lanjut.
Susulan itu juga beliau meminta pengguna menjadi sebahagian pemangkin
kepada keberkesanan pelaksanaan GST dengan melaporkan sebarang
penyelewengan oleh peniaga kepada persatuan pengguna.
GST yang akan dikuatkuasakan bermula 1 April ini pada kadar enam
peratus bakal menggantikan sistem cukai jualan dan perkhidmatan sedia
ada yang berkadar keseluruhan 16 peratus.
Sistem cukai baharu ini yang merupakan sebahagian usaha pengukuhan
fiskal kerajaan menuntut perniagaan berpendapatan tahunan RM500,000 ke
atas mendaftar GST dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Sementara itu, Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna
Malaysia, Prof Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berkata pemantauan
pihaknya mendapati ada perniagaan yang mengenakan GST tersebut tidak
layak berbuat demikian kerana berpendapatan tahunan kurang daripada
RM500,000.
Ini juga satu bentuk penyelewengan yang harus diawasi oleh pengguna, katanya.
Naib Presiden Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (Fomca),
Siti Rahayu Zakaria pula mengingatkan pengguna supaya meneliti resit dan
bil yang diterima selepas pembayaran bagi mengelak daripada ditipu oleh
peniaga yang tidak berhemah.
Setiap perniagaan yang mendaftar GST dengan Kastam akan menerima
sijil dan mereka perlu mempamerkan sijil itu di premis perniagaan
sebagai panduan pengguna, katanya.
“Ini sebagai panduan. Bukan itu sahaja, sebanyak dua juta naskhah
Buku Panduan Harga Pengguna melibatkan 500 jenis barangan selepas sistem
GST dilaksanakan telah diedar sejak awal Februari di seluruh negara,”
katanya.
Pengguna juga boleh memuat turun buku panduan itu menerusi laman
sesawang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
di www.kpdnkk.gov.my.
Sementara itu, Ketua Pengarah, Datuk Seri Khazali Ahmad menegaskan
pihaknya akan memantau kedai atau premis perkhidmatan yang didapati
mengenakan GST lebih awal daripada tarikh penguatkuasaan.
Perniagaan yang tidak layak mengutip GST juga bakal berdepan tindakan
undang-undang menurut Akta GST 2014 jika mereka didapati berbuat
demikian, katanya. – BERNAMA