JOHOR BAHARU – Seorang anggota polis mengaku tidak bersalah di
Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima
rasuah daripada orang awam, tahun lepas.
Bagi pertuduhan pertama, Sarjan Mohd Ferdaus Abdullah, 28, didakwa
meminta suapan wang tunai RM2,500 daripada Ismail Dahlan, sebagai
dorongan menyelesaikan kes Nurulhuda Samsudin yang disyaki terlibat
dalam kes memiliki dadah.
Mohd Ferdaus yang merupakan Penolong Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabat
Polis Daerah (IPD) Johor Baharu Utara didakwa melakukan kesalahan
terbabit di IPD berkenaan pada 12.30 malam, 2 Jun 2014.
Bagi tuduhan kedua, dia yang masih bujang dituduh secara rasuah
menerima suapan wang tunai RM1,900 daripada Ismail sebagai dorongan
sama, di lokasi sama, pada 11 malam, 4 Jun 2014.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah
Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20
tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan,
atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz membenarkan Mohd Ferdaus diikat jamin
RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 April untuk sebutan
semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Abdul Ghaffar Ab Latiff
manakala Mohd Ferdaus diwakili peguam Nor Hidayu Arshad. – BERNAMA