Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Negeri Kedah sebulat suara menyokong padu ketegasan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak, berhubung amaran beliau mengenai puak "jemuan" yang mencetus pepecahan di dalam parti sebelum ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizi Zainal Abidin berkata, sememangnya golongan itu wujud di dalam UMNO Kedah, namun kewujudan tersebut tidak didedahkan secara jelas sebelum ini.

Namun katanya, dengan kenyataan Presiden UMNO mengenai golongan yang merosakkan perpaduan parti keramat bangsa itu, beliau berikrar untuk menghapuskan "jemuan-jemuan" politik di dalam UMNO Kedah, khususnya di dalam Pemuda secara total.

'Individu-individu jemuan politik yang disebut YAB Perdana Menteri itu memang sudah sedia ada di dalam struktur parti sekarang ini, cuma sebelum ni kita tak 'highlight'lah siapa jemuan politik dan kriteria jemuan politik itu.

"Kalau kita (UMNO/BN) nak berjaya untuk mempertahankan negeri ini, kita kena hapuskan semua jemuan-jemuan politik ini.

"Jemuan-jemuan politik ini ialah orang yang mencari makan hasil daripada pertelingkahan dan juga perebutan kuasa dalam politik, sebab tu depa boleh hidup" kata Shaiful menegaskan pendirian Pemuda UMNO Kedah kepada Utaranews.com, lewat malam semalam.

Justeru itu katanya, semua pemimpin UMNO di setiap peringkat terutama di bahagian-bahagian perlu menerima secara terbuka, menyelesaikan pertelingkahan sekiranya berlaku demi keutuhan parti di Kedah.

Najib semalam merasmikan Konvensyen UMNO Negeri Kedah 2015 dan menyampaikan mesej utama kepada kepimpinan, ahli dan penyokong UMNO, khususnya di negeri itu supaya tidak mejadi "jemuan" yang menggugat perpaduan di dalam parti.


Ketua Pergerakan Puteri UMNO Kedah, Datin Norasimah Md Nowar pula menegaskan bahawa pihaknya memberi perhatian serius terhadap teguran Najib itu dan bertekad untuk tidak membenarkan budaya negatif itu menular di dalam UMNO, khususnya sayap parti itu sendiri.

"Puteri UMNO Negeri Kedah sendiri kita mengambil pandangan yang serius dengan teguran yang dibuat oleh YAB Presiden parti tentang "jemuan-jemuan" diperingkat bahagian dan di dalam UMNO sendiri.

"Sikap ini perlulah kita banteras habis-habisan supaya dalam politik UMNO ini biarlah 'bersih' (dari jemuan), kalau nak tegur tu biarlah secara terbuka dan berhemah.

"Bukan semua pemimpin tidak boleh ditegur, tapi sikap kita yang di depan ni bermuka-muka tapi di belakang melagakan sesama sendiri memang satu sikap yang tak baiklah," katanya ketika ditemubual Utaranews.com secara eksklusif, semalam.

Jadi katanya, Puteri UMNO Negeri Kedah meminta supaya semua pemimpin UMNO di pelbagai peringkat di negeri itu dapat menerima teguran dari Presiden parti tonggak bangsa Melayu itu secara terbuka dan sama-sama memperbaiki diri demi perjuangan parti.

Turut hadir di konvensyen berkenaan ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah serta barisan kepimpinan UMNO Negeri yang lain.

Selain itu, majlis perasmian berkenaan juga dihadiri oleh ketua-ketua UMNO Bahagian, ketua-ketua sayap Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Negeri Kedah dan ketua-ketua peti undi di seluruh negeri. -Utaranews.com