KANGAR – Kerajaan Perlis akan menganjurkan pesta air dan sukan air
secara besar-besaran serta kejohanan separuh marathon yang menawarkan
hadiah lumayan untuk menarik pelancong ke negeri ini.
Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata Empangan Timah Tasoh yang
menjadi pusat pertandingan wind surfing dan regatta Sukan Malaysia
Perlis 2014 akan dijadikan venue pertandingan itu pada akhir bulan ini.
Selain itu, katanya, buat pertama kalinya kerajaan negeri dengan
kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) akan
menganjurkan Perlis Half Marathon sejauh 25 kilometer pada 31 Mei ini
yang turut dibuka kepada peserta antarabangsa.
“Acara ini menawarkan hadiah utama sebuah kereta berharga lebih
RM100,000,” kata Azlan sewaktu berucap merasmikan Pesta Angin Timur
Perlis 2015 kali ketiga di Kampung Sungai Berembang, Simpang Empat dekat
sini Sabtu.
Beliau berkata maklum balas yang diterima hasil promosi yang dibuat
melalui pelbagai medium selain kerjasama pelbagai agensi kerajaan
menjangkakan kira-kira 3,000 peserta akan menyertai acara itu.
Beliau berkata Pesta Air Kuala Perlis yang dihidupkan semula tahun
lepas akan diteruskan sebelum akhir tahun ini dengan memasukkan acara
lebih menarik bagi menjadikannya lebih meriah.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Azlan berkata acara tersebut
dirancang dengan teliti bagi memenuhi keperluan Perlis yang tidak banyak
tempat pelancongan menarik dan boleh menggamit pelancongan mengunjungi
negeri ini.
Katanya 31 Mei dipilih untuk penganjuran acara marathon sebagai
strategi serampang dua mata bersempena musim mempelam harumanis iaitu
produk yang menjadi ikon negeri untuk diperkenalkan kepada pelancong
asing.
“Walaupun pengeluaran harumanis dijangka kurang sedikit berikutan
perubahan cuaca berbanding tahun lepas, saya rasa pelancong masih
berpleuang menikmati keenakannya,” kata menteri besar.
Terdahulu, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian
Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Datuk Ab Ghaffar A. Tambi, dalam
ucapannya berkata usaha kerajaan Perlis menganjurkan Pesta Angin Timur
harus dipuji dan disokong.
“Aktiviti tradisi yang diadakan perlu diberi nafas baharu bagi
menjamin ia terus hidup dan tidak dilupai dalam menghadapi lambakan dan
pengaruh budaya asing yang menghakis budaya tradisi,” katanya.
Pesta tiga hari itu bermula Jumaat dihadiri tidak kurang 50,000 orang
memaparkan aktiviti petani tahun 1950-an dan 60-an selepas musim menuai
padi.
Antara lain ia bertujuan menyemarakkan kesenian tradisional negeri
Perlis, memupuk semangat gotong-royong dan memberi peluang penggiat seni
tradisional mengambil bahagian selain persembahan hadrah serta wayang
kulit. – BERNAMA