Perlis Sambut Baik Cadangan Bina Jambatan Satun - Perlis

SATUN (Selatan Thai) - Kerajaan Perlis menyambut baik cadangan pentadbiran Wilayah Satun membina jambatan sebagai laluan baharu untuk menghubungkan wilayah itu dengan Perlis.
  
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Hal Ehwal Keselamatan Sempadan Perlis, Ahmad Bakri Ali berkata, jambatan sepanjang 15.8 kilometer itu dicadang dibina dari Tammalang ke Puyu dan Bukit Puteh di Kuala Perlis.
  
"Projek ini bakal memendekkan perjalanan sehingga lebih 100 km dari Wang Prachan, Satun ke Perlis selain meningkatkan hubungan dan perdagangan dua hala," katanya kepada Bernama selepas mesyuarat pembangunan sempadan Perlis-Satun di Bangunan Majlis Bandaran Wilayah Satun, di sini hari ini.
  
Gabenor Satun Dejrath Simiri mempengerusikan mesyuarat itu yang disertai ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri di Perlis serta ketua-ketua jabatan serta agensi-agensi pentadbiran Wilayah Satun.
  
Ahmad Bakri berkata, kerajaan Perlis menyokong cadangan tersebut yang diluluskan pada 1997 setelah kerajaan persekutuan sebelum itu menolak permohonan membina jalan baharu Wang Kelian-Kangar bernilai RM180 juta.

Katanya, dalam mesyuarat itu, Gabenor Satun memaklumkan bahawa pentadbiran Satun merancang membina jambatan sehingga Kuala Perlis tetapi kerajaan Perlis meminta ia dibina sehingga sempadan kedua-dua negara di Bukit Puteh sahaja.
  
Beliau berkata, tanah 16.8 hektar di Bukit Puteh telah diwartakan sebagai tapak Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin.
  
"Jika perkara ini dipersetujui kita hanya perlu bina jalan dari Bukit Puteh ke Kuala Perlis sepanjang 5.2 km. Sekarang ini terserah kepada Gabenor Satun untuk melobi Bangkok," katanya.
  
Sementara itu, Dejrath berkata pembinaan jambatan itu adalah alternatif baharu berikutan cadangan pembinaan jalan di pesisir pantai mendapat tentangan banyak pihak kerana dikhuatiri menjejaskan alam sekitar khususnya paya bakau.
  
Menurutnya, kerajaan Thai mempunyai dua pilihan sama ada projek itu dilaksanakan secara inisiatif pembiayaan swasta yang mengambil masa lebih pendek atau melaksanakan sendiri namun mengambil masa lebih lama.
  
"Saya akan bawa cadangan ini kepada pihak berkuasa di Bangkok. Jika tiada banyak halangan mungkin projek ini dapat dilaksanakan dalam masa beberapa tahun lagi," katanya.
  
Bersempena mesyuarat itu, acara sukan persahabatan turut diadakan membabitkan ketua-ketua jabatan kedua-dua pihak seperti bola sepak, badminton dan sepak takraw. - Bernama