Kakitangan sokongan sebuah sekolah agama, Ismail Zain, 42, berkata,
jika dahulu dia mampu berulang-alik ke tempat kerja yang jauh itu, namun
setelah menderita sakit saraf April tahun lalu, pergerakannya makin
terbatas.
Menurutnya, meskipun pernah berulang-alik ketika bertugas di Yan
sebelum ini, perkara itu tidak pernah sekalipun menjadi masalah ataupun
halangan buatnya.
"Sekarang hidup saya berubah 100 peratus bila saya disahkan hidap sakit saraf.
"Tangan kanan dan kaki kiri makin lemah sehingga adakalanya memberi kesan kepada aktiviti harian," katanya.
Ismail berkata, dia hampir terlibat dalam kemalangan apabila tangan
kanannya kebas dan tidak dapat bergerak ketika dalam perjalanan ke
tempat kerja.
"Dulu saya pernah membantu dalam arena sukan negeri dengan menjadi
penolong jurulatih merangkap pegawai pengurusan Kejohanan Sepaktakraw
Piala Belia Kebangsaan dan terlibat dalam pengurusan Piala Emas
Raja-raja pasukan Kedah.
"Tapi sekarang saya terpaksa ambil cuti tanpa gaji selain tak mampu ke
tempat kerja yang jauh dan merawat sakit yang dihadapi," katanya kepada
Sinar Harian.
Penderitaan Ismail walau bagaimanapun mendapat perhatian Penyelaras Dun
Kota Darul Aman, Syed Hafiz Syed Mustapa yang turun padang mendengar
masalah yang dihadapinya.
Menurutnya, dia bersimpati dengan keluarga Ismail apabila mendapati
tahu bapa kepada empat anak berusia antara empat hingga 13 tahun itu
mengambil keputusan bercuti tanpa gaji.
"Saya harap majikan Ismail dapat memberi perhatian dan mempertimbangkan
pertukarannya ke tempat kerja yang lebih dekat bagi meringankan
bebannya.
"Saya dimaklumkan Ismail masih belum menerima maklum bas berhubung
permohonan pertukarannya itu sedangkan, Exco Pendidikan merangkap
Pengerusi Lembaga, Datuk Tajul Urus Mat Zain ada memberi sokongan,"
katanya.
Dalam perkembangan sama katanya, pihak mereka akan cuba memanjangkan
permohonan pertukaran kali kedua kepada pihak berkaitan bagi membantu
Ismail. -Sinar Harian