Petisyen Anwar Muncul Kembali Di Laman Web White House, Capai Lebih 100,000 Tandatangan


Setelah sehari petisyen yang dibuat pihak tertentu kepada pentadbiran Barrack Obama untuk menuntut pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim digugurkan dari laman sesawang White House, kini ia muncul kembali.

Semalam, ahli parlimen pembangkang mempertikaikan tentang kegagalan mereka untuk mengakses petisyen tersebut di laman ‘We The People’ dan ada suara sumbang yang menuduh penglibatan Putrajaya berhubung petisyen tersebut.

Setakat ini, petisyen tersebut telah mendapat lebih 111,000 tandatangan, yang mana ia telah mencapai syarat minimum untuk dibawa ke peringkat seterusnya, iaitu sebanyak 100,000 tandatangan.

Petisyen mahu AS campur tangan dalam hal ehwal dalaman dan undang-undang Malaysia
Petisyen tersebut dimulakan oleh bekas duta Amerika Syarikat ke Malaysia, John R. Malott tak lama selepas Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Ketua Pembangkang itu atas tuduhan liwat yang dilakukannya tujuh tahun lalu.

Dalam petisyen tersebut , ia menulis bahawa nada kecewa yang diluahkan pihak Amerika Syarikat terhadap pemenjaraan Anwar tidak mencukupi, dan menuduh tindakan tersebut sebagai tahanan politik.

Bukan itu sahaja, dalam petisyen tersebut turut mengatakan bahawa Anwar merupakan ‘rakan lama’ Amerika Syarikat, lantas White House perlu mengambil tindakan bagi membantu pembebasannya.

Selain itu, sebuah lagi petisyen turut dimuat naik ke laman tersebut bagi memohon pihak Amerika Syarikat menghormati kedaulatan Malaysia.

Petisyen menolak AS campur tangan dalam hal ehwal dalaman dan undang-undang Malaysia
Ia merupakan reaksi terhadap tindakan White House yang dilihat cuba masuk campur dengan sistem kehakiman Malaysia setelah Mahkamah Persekutuan memutuskan Anwar bersalah dalam kes Liwat II. -Kedahnews.com