Petisyen Bebaskan Penjenayah Dipadam, Disyaki Langgar Syarat


ADA suara-suara sumbang menuduh penglibatan Putrajaya telah mempengaruhi tindakan pengendali We The People mengeluarkan satu petisyen menuntut pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari laman sesawang tersebut sebelum ia sempat menerima 100,000 tandatangan.

Petisyen tersebut dinaikkan dalam laman itu, bagi mendapatkan sokongan Rumah Putih agar ketua pembangkang berkenaan dibebaskan dari hukuman penjara atas kesalahan liwat pada 2008.

Setelah petisyen itu dikeluarkan, cubaan untuk mengaksesnya akan mengeluarkan kenyataan berbunyi:

“The petition you are trying to access has been removed from the site under our Moderation Policy because it is in violation of our Term of Participation” (Petisyen yang diakses anda telahpun dipadamkan dari laman ini di bawah ‘Moderation Policy’ kerana ia telah melanggar syarat).

Tinjauan Mynewshub mendapati, sebelum mengemukakan sebarang petisyen untuk diteliti Rumah Putih, terdapat beberapa syarat yang perlu dipersetujui pemohon.

White-House

Antaranya, akaun yang dibuat tidak mempunyai apa-apa informasi yang mengancam mahupun memberikan impak negatif kepada mana-mana pihak atau kumpulan.

Andai si pemohon atau pengemuka petisyen gagal memenuhi syarat asas tersebut, pihak pengendali laman sesawang tersebut akan menghalang pemilik akaun untuk mengakses seterusnya memadamkan petisyen yang dikeluarkan dalam laman tersebut.

Selain itu, pemilik akaun juga perlu mengemukakan petisyen yang bersesuaian dengan misi We The People diwujudkan iaitu menjadi platform kepada individu untuk memohon pihak pentadbiran mengambil tindakan terhadap sesuatu isu.

Pengadu boleh mengemukakan sesuatu masalah, menyokong atau menolak sesuatu kertas cadangan, ataupun mengubah mahupun meneruskan polisi sesebuah kerajaan.

Namun demikian, pihak pengendali masih membuka peluang kepada si pemohon untuk mengemukakan rayuan andai petisyennya dipadamkan.

Bagi mendapatkan informasi lebih lanjut tentang peraturan mahupun fakta asas tentang We The People, bolehlah mengunjungi laman sesawang tersebut. (KLIK Di Sini)