Piala Sudirman: Malaysia Diundi Dalam Kumpulan Sengit Bersama Korea Selatan, India

SKUAD badminton negara bakal menghadapi saingan sengit pada pusingan awal Kejohanan Badminton BWF Piala Sudirman yang dijadual berlangsung dari 10 hingga 17 Mei di Dongguan, China.

Menurut Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam laman web rasminya,  www.bwfbadminton.org, Malaysia telah diundi bersama juara tiga kali Korea Selatan dan India dalam Kumpulan 1D pada majlis pengundian yang berlangsung pada Isnin.

Pencapaian terbaik skuad badminton negara dalam kejohanan dwitahunan itu ialah melangkah ke separuh akhir dan berkongsi tempat ketiga bersama Indonesia pada edisi 2009 di Guangzhou, China.

Kejohanan berpasukan campuran itu melibatkan 35 pasukan yang dibahagikan kepada empat kumpulan dengan 12 pasukan ranking terbaik diletakkan dalam Kumpulan 1, yang dibahagikan pula kepada empat kumpulan kecil.

Sebanyak 12 pasukan ranking terbaik akan bersaing untuk merebut trofi kejohanan manakala pasukan dalam Kumpulan 2, 3 dan 4 akan bertanding untuk memperbaiki ranking masing-masing.

Penyandang juara China mendapat undian agak baik dan dijangka berhadapan laluan mudah apabila diundi bersama Jerman dan Thailand dalam Kumpulan 1A.

Kuasa besar badminton dunia ini muncul juara sebanyak sembilan kali iaitu pada 1995, 1997, 1999, 2001, 2005, 2007, 2009, 2011 dan 2013.

Sementara juara Piala Thomas tahun lepas, Jepun diundi bersama Taiwan dan Amerika Syarikat dalam Kumpulan 1B manakala Denmark, Indonesia dan England dalam Kumpulan 1C.
  
Senarai Undian:

    Kumpulan 1:

    Kumpulan 1A: China, Thailand, Jerman
    Kumpulan 1B: Jepun, Taiwan, Amerika Syarikat
    Kumpulan 1C: Denmark, Indonesia, England
    Kumpulan 1D: Korea Selatan, India, Malaysia
  
    Kumpulan 2:

    Kumpulan 2A: Rusia, Hong Kong, Kanada, Sepanyol
    Kumpulan 2B: Singapura, Belanda, Perancis, Brazil
  
    Kumpulan 3:

    Kumpulan 3A: Republik Czech Republic, Turki, Africa Selatan, Austria
    Kumpulan 3B: Vietnam, Australia, Itali, Switzerland
  
    Kumpulan 4:

    Kumpulan 4A: Nigeria, Filipina, Iceland
    Kumpulan 4B: Israel, Sri Lanka, Seychelles, Kazakhstan

- Bernama