Pihak Berkuasa Digesa "Gantung" The Malaysian Insider Serta Merta!

ALOR SETAR - Pihak berkuasa digesa supaya menggantung penyiaran portal The Malaysian Insider berkuatkuasa serta-merta ekoran penahanan lima nadi peneraju editorial portal yang dikatakan memfitnah Majlis Raja-Raja itu.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, tindakan tegas itu diambil terhadap portal berkenaan sehingga penyiasatan dan pendakwaan berhubung kes berkenaan selesai.

"Sewajarnya Malaysian Insider digantung redaksinya sehingga penyiasatan dan pendakwaan selesai," tegasnya mengulas berhubung penahanan tersebut.

Syed Mohd Johan Rizal berkata, tindakan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) seperti itu adalah dinanti-nantikan supaya menjadi pengajaran kepada pihak-pihak tertentu, khususnya pengamal media-media sosial yang melampaui batas kebebasan bermedia.

"Diharapkan pendakwaan dilakukan supaya pelampau-pelampau yang menghasut ini tidak bebas diluar untuk terus menghasut," katanya kepada Kedahnews.com ketika dihubungi.

Selain itu, beliau turut mengharapkan agar pihak PDRM bertindak di dalam ruang bidang kuasa yang digariskan terhadap portal yang disifatkan sering menabur fitnah dan laporan kurang tepat mengenai pihak kerajaan.

Pengarang urusan The Malaysian Insider, Lionel Morais, pengarang berita bahasa, Amin Shah Iskandar serta pengarang analisis dan rencana, Zulkifli Sulong, telah ditahan pihak polis kelmarin.

Manakala penerbit The Edge merangkap pihak berkepentingan dalam portal politik itu, Ho Kay Tat dan Ketua Eksekutifnya, Jahabar Sadiq dilapor telah ditahan pihak berkuasa di bawah Akta Hasutan, semalam.

Pada Rabu minggu lalu, The Malaysian Insider telah menerbitkan satu artikel yang mendakwa Majlis Raja-Raja menolak pindaan untuk melaksanakan Hudud, lantas ia tidak boleh dibawa ke Parlimen untuk dibentangkan.

Bagaimanapun sehari selepas itu, Majlis Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja telah tampil membuat satu laporan polis bagi menyangkal dan menafikan fakta yang dinyatakan artikel berkenaan.

Susulan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin turut membuat satu laporan polis terhadap portal berkenaan dan mendakwa portal tersebut sebagai "terdesak". -Kedahnews.com