PKR Kedah Dirombak Untuk Tawan Kedah Dari Mukhriz

ALOR SETAR - Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah melakukan rombakan hampir 100 peratus jawatankuasa parti itu bagi meneruskan legasi menghadapi PRU14.

Mesyuarat berhubung pelantikan itu diadakan di Pejabat PKR Kedah, di sini, pada 13 Februari lalu.

Difahamkan, ketua-ketua cabang baharu yang memenangi pemilihan lalu turut dilantik memegang jawatan di peringkat negeri.

Pengerusi PKR Kedah, Dr Azman Ismail berkata, rombakan besar-besaran itu dibuat bagi membolehkan muka baharu dan lama bersama memimpin parti.

“Kali ini kita ketengahkan pasukan yang lebih kuat untuk menghadapi cabaran PRU14.

“Kebanyakannya adalah merupakan muka baru dan golongan muda, tetapi beberapa pemimpin lama masih kekal cuma bertukar jawatan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, tujuan utama rombakan itu bagi membolehkan PR mengatur strategi untuk tawan semula Kedah daripada BN.

“Antara muka baru yang dilantik ialah Timbalan Ketua Cabang Jerai, Datuk Muhd Zaimuddin Osman sebagai biro agama; Ketua Cabang Jerlun, Zaidi Hasan sebagai biro pertanian; Ketua Cabang Padang Terap, Hashim Idris sebagai biro bencana alam dan Ketua Cabang Sik, Sarina Manas sebagai biro kesejahteraan keluarga dan masyarakat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah berkata, pendekatan itu dibuat bagi memastikan setiap pemimpin baru dan lama menjalankan tanggungjawab masing-masing terutama dalam soal kepentingan rakyat.

Mengulas mengenai perancangan PKR Kedah tanpa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata, perkara itu tidak menjadi penghalang kepada perjuangan PKR.

“Walaupun tanpa Anwar, kita tetap meneruskan perjuangan beliau untuk menegakkan keadilan dan memperjuangkan masalah rakyat.

“Kita juga dalam usaha mewujudkan jawatankuasa peringkat ranting di setiap unit peti undi di negeri ini,” katanya.

Difahamkan, rombakan itu dibuat selepas berlaku pertukaran Pengerusi PKR Kedah pada bulan Disember tahun lalu.

Sebelum ini, jawatan Pengerusi PKR Kedah disandang oleh Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul pada September 2013 menggantikan Datuk Wan Salleh Wan Isa yang tidak dicalonkan semula pada PRU13 lalu.