PKR Mahu Jadi "Hero", Dakwa Mampu Reda Krisis PAS - DAP

Kuala Lumpur - PKR seolah memberi isyarat mahu menjadi "hero" apabila memberi jaminan akan mencari jalan keluar dan menjadi orang tengah dalam usaha untuk mendamaikan rakan sekutunya antara DAP dan PAS dalam isu enakmen hukum hudud.

Naib Presidennya, Tian Chua berkata, dia yakin PKR ada cara terbaik untuk meredakan perbalahan itu bagi menyelamatkan gabungan pembangkang dalam Pakatan Rakyat.

"Kita akan usahakan untuk mendamaikan kedua-dua (DAP dan PAS), kita akan usaha untuk pastikan perpaduan PR itu diteruskan, ada cara lah, mesti ada cara.

"Kalau ada usahanya, mesti ada cara nak seribu daya tak nak seribu dalih, kita kena usaha," katanya dalam satu kenyataan di lobi Parlimen semalam.

Tian Chua dilapor berkata demikian mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang membayangkan hubung Pas dengan DAP telah putus kerana parti itu tertakluk arahan Presidennya sebahagian daripada organisasi parti.

Menurut laporan akhbar semalam, Haron juga dilapor berkata beliau turut menyelar DAP kerana menganggap Presiden PAS sebagai pengkhianat dan berkata ia tidak patut terbit dari rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat sendiri.-Kedahnews.com