KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu Parlimen Malaysia bertindak sama seperti parlimen di sebuah negara bergolak, Ukraine, untuk membenarkan Ketua Umum mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibenar ke sidang parlimen pada 9 Mac ini.
Malah parti itu tanpa sebarang bukti kukuh menabur persepsi mendakwa Menteri Dalam
Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berselindung di sebalik penjawat
awam untuk menolak permohonan PKR bagi kehadiran Anwar di sesi
Sidang Dewan Rakyat bermula Isnin depan.
Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr. Afif Bahardin
berkata, penolakan permohonan Anwar untuk menghadiri sesi Sidang Dewan
Rakyat akan datang satu bentuk pencabulan hak dan amalan demokrasi
negara ini.
“Anwar wakil seluruh masyarakat Permatang Pauh dan seluruh rakyat
Malaysia sebagai Ketua Pembangkang. Maka, permohonan beliau wajar
dipertimbangkan semula.
“Menteri Dalam Negeri tidak wajar berselindung di sebalik penjawat
awam dengan menggunakan mereka untuk menolak permohonan dari pihak Anwar
untuk menghadiri sesi Sidang Dewan Rakyat ini,” dakwanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Timbalan Ketua AMK itu dipercayai merujuk pada laporan yang mengatakan Jabatan Penjara telah menolak permohonan parti itu untuk Anwar hadir ke parlimen bagi sesi kali ini.
Bagi menyokong hujahnya, Afif mendakwa, ada Ahli Parlimen di Ukraine yang dihukum penjara
selama tujuh tahun dibenarkan hadir ke sidang Parlimen negara itu pada
11 Oktober 2011.
“Ketua pembangkang Ukraine, Yulia Tymoshenko didapati bersalah dalam
menyalahgunakan jawatannya semasa menjadi broker urus janji gas 2009
dengan Rusia.
“Tetapi beliau dibenarkan menghadiri sidang parlimen negara tersebut.
Perkara ini adalah hak seorang tahanan politik selagi mana tidak ada
undang –undang atau keputusan akhir untuk menggugurkan kelayakan beliau
sebagai seorang Ahli Parlimen,” dakwanya.
Jabatan Penjara dikatakan telah menolak permohonan Anwar yang juga
Ketua Umum PKR untuk menghadiri sidang Parlimen yang bakal bermula
Isnin depan sebagaimana yang dilapor oleh portal Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), semalam. -Kedahnews.com